Kami dihujani
dengan pelbagai pertanyaan dan permohonan di email, whatsup, panggilan telefon,
inbox di facebook, sms dan sebagainya untuk prosedur pengangkatan bayi di Darul
Wardah. Sepertimana yang telah kami tekankan dalam syarat kemasukan pelatih,
bayi yang dilahirkan di Darul Wardah adalah milik sepenuhnya ibu, keluarga dan
waris pelatih kami. Perlu ditekankan juga bahawa Darul Wardah tidak sama
sekali mempunyai apa-apa kepentingan atau hak terhadap anak-anak yang dilahirkan
ini.
Kami memberi
perlindungan kepada pelatih dan bayinya sehingga satu tempoh yang kami dan
keluarga pelatih yakin mereka boleh berdikari sendiri dengan akidah yang kuat,
akhlak yang mulia, sahsiah yang terpuji dan bekalan ilmu yang mantap di samping sokongan dan bimbingan daripada keluarga. Seandainya
keluarga dan waris pelatih ingin membuat pengangkatan untuk bayi yang
dilahirkan, urusan tersebut perlu diuruskan sepenuhnya oleh keluarga dan waris
pelatih sendiri tanpa penglibatan Darul Wardah. Tujuan sebenarnya adalah untuk
menggalakkan pelatih atau keluarga dan waris memelihara dan mendidik bayi itu sendiri.
Anak-anak
yang dilahirkan ini berhak untuk mendapat kasih sayang dan belaian manja ibu
kandungnya sendiri, berhak berada dalam kalangan saudara-mara sedarah sedagingnya
dan berhak mendapat perlindungan daripada warisnya yang sah. Namun, kami juga
tidak menafikan yang ada di kalangan anak-anak ini lebih baik berada atau diserahkan
kepada keluarga angkat disebabkan beberapa sebab tertentu. Oleh kerana itulah,
urusan pengangkatan diserahkan sepenuhnya kepada ibu dan keluarga atau waris si
bayi bagi mengelakkan sebarang masalah yang timbul pada masa hadapan dan kami
sekadar memberi nasihat dan pandangan untuk urusan dan prosedur pengangkatan
sahaja.
Kami amat
memahami ramai pasangan di luar sana yang terlalu menginginkan anak dan ikhtiar
terakhir adalah dengan mengambil anak angkat. Namun, kami tidak dapat
menjanjikan apa-apa untuk sebarang permohonan anak angkat daripada Darul
Wardah. Kami mengharapkan iringan doa daripada semua pembaca blog kami untuk
kesejahteraan anak-anak ini dan diberikan kekuatan kepada pelatih kami untuk
meneruskan kehidupan yang serba mencabar di luar sana. Semoga mereka mendapat
sinar kebahagian dan dapat menjalani kehidupan yang lebih baik apabila keluar
daripada Darul Wardah.
Maka disini kami tekankan sekali lagi bahawa DARUL
WARDAH :-
- TIDAK mengendalikan hal-hal berkaitan pengangkatan untuk anak-anak yang dilahirkan oleh pelatih;
- Bayi adalah hak mutlak ibu kandungnya, keluarga dan waris kepada bayi;
- Sebarang keputusan mengenai bayi yang dilahirkan di Darul Wardah akan diserahkan sepenuhnya kepada ibu, keluarga dan waris pelatih sahaja;
- Darul Wardah hanya memberi perlindungan dan modul pemulihan akidah, akhlak, sahsiah, tarbiyah, bimbingan dan kaunseling kepada pelatih yang berada di Darul Wardah;
- Sekiranya ibu bayi, keluarga atau waris bersetuju untuk membuat pengangkatan, urusan tersebut akan diuruskan oleh keluarga dan waris sendiri dan urusan pengangkatan dibuat setelah pelatih menamatkan tempoh pemulihannya di Darul Wardah;
- Darul Wardah tidak akan sama sekali memberi maklumat mengenai ibu bayi, keluarga atau waris yang ingin membuat pengangkatan kepada pihak luar; dan
- Darul Wardah BUKAN pusat untuk mendapatkan anak angkat.
No comments:
Post a Comment