Wednesday, September 30, 2015

MAKLUMAN : PENJAGAAN BAYI DI DARUL WARDAH


Kami dihujani dengan pelbagai pertanyaan dan permohonan di email, whatsup, panggilan telefon, inbox di facebook, sms dan sebagainya untuk prosedur pengangkatan bayi di Darul Wardah. Sepertimana yang telah kami tekankan dalam syarat kemasukan pelatih, bayi yang dilahirkan di Darul Wardah adalah milik sepenuhnya ibu, keluarga dan waris pelatih kami. Perlu ditekankan juga bahawa Darul Wardah tidak sama sekali mempunyai apa-apa kepentingan atau hak terhadap anak-anak yang dilahirkan ini.

Kami memberi perlindungan kepada pelatih dan bayinya sehingga satu tempoh yang kami dan keluarga pelatih yakin mereka boleh berdikari sendiri dengan akidah yang kuat, akhlak yang mulia, sahsiah yang terpuji dan bekalan ilmu yang mantap di samping sokongan dan bimbingan daripada keluarga. Seandainya keluarga dan waris pelatih ingin membuat pengangkatan untuk bayi yang dilahirkan, urusan tersebut perlu diuruskan sepenuhnya oleh keluarga dan waris pelatih sendiri tanpa penglibatan Darul Wardah. Tujuan sebenarnya adalah untuk menggalakkan pelatih atau keluarga dan waris memelihara dan mendidik bayi itu sendiri.

Anak-anak yang dilahirkan ini berhak untuk mendapat kasih sayang dan belaian manja ibu kandungnya sendiri, berhak berada dalam kalangan saudara-mara sedarah sedagingnya dan berhak mendapat perlindungan daripada warisnya yang sah. Namun, kami juga tidak menafikan yang ada di kalangan anak-anak ini lebih baik berada atau diserahkan kepada keluarga angkat disebabkan beberapa sebab tertentu. Oleh kerana itulah, urusan pengangkatan diserahkan sepenuhnya kepada ibu dan keluarga atau waris si bayi bagi mengelakkan sebarang masalah yang timbul pada masa hadapan dan kami sekadar memberi nasihat dan pandangan untuk urusan dan prosedur pengangkatan sahaja.

Kami amat memahami ramai pasangan di luar sana yang terlalu menginginkan anak dan ikhtiar terakhir adalah dengan mengambil anak angkat. Namun, kami tidak dapat menjanjikan apa-apa untuk sebarang permohonan anak angkat daripada Darul Wardah. Kami mengharapkan iringan doa daripada semua pembaca blog kami untuk kesejahteraan anak-anak ini dan diberikan kekuatan kepada pelatih kami untuk meneruskan kehidupan yang serba mencabar di luar sana. Semoga mereka mendapat sinar kebahagian dan dapat menjalani kehidupan yang lebih baik apabila keluar daripada Darul Wardah.

 Maka disini kami tekankan sekali lagi bahawa DARUL WARDAH :-

  1. TIDAK mengendalikan hal-hal berkaitan pengangkatan untuk anak-anak yang dilahirkan oleh pelatih;
  2. Bayi adalah hak mutlak ibu kandungnya, keluarga dan waris kepada bayi;
  3. Sebarang keputusan mengenai bayi yang dilahirkan di Darul Wardah akan diserahkan sepenuhnya kepada ibu, keluarga dan waris pelatih sahaja;
  4. Darul Wardah hanya memberi perlindungan dan modul pemulihan akidah, akhlak, sahsiah, tarbiyah, bimbingan dan kaunseling kepada pelatih yang berada di Darul Wardah;
  5. Sekiranya ibu bayi, keluarga atau waris bersetuju untuk membuat pengangkatan, urusan tersebut akan diuruskan oleh keluarga dan waris sendiri dan urusan pengangkatan dibuat setelah pelatih menamatkan tempoh pemulihannya di Darul Wardah;
  6. Darul Wardah tidak akan sama sekali memberi maklumat mengenai ibu bayi, keluarga atau waris yang ingin membuat pengangkatan kepada pihak luar; dan
  7. Darul Wardah BUKAN pusat untuk mendapatkan anak angkat.





PROGRAM MOTIVASI JATI DIRI REMAJA: AKU TERUNA TERHEBAT (ATT)


Selain dari program Bahagia Menjadi Gadis (BMG), kami di Darul Wardah juga merasa terpanggil untuk menjalankan satu program pendidikan khusus kepada remaja-remaja lelaki sebagai satu langkah menangani masalah sosial. Kebejatan akhlak dan keruntuhan nilai remaja sekarang benar-benar berada di tahap yang membimbangkan.






Melihatkan masalah sosial terutamanya ketagihan dan gangsterisme melibatkan kebanyakannya remaja lelaki, kami telah merangka satu Program Motivasi Jatidiri Remaja: Aku Teruna Terhebat (ATT). Program yang bertunjangkan kepada nilai-nilai agama diharapkan dapat membentengi diri remaja-remaja dari terjebak ke kancah kemungkaran. Kami amat berharap program ini akan mendapat dokongan dan sokongan padu dari semua pihak dalam usaha membentuk remaja-remaja yang bersahsiah, berketrampilan dan berperanan dalam membangunkan agama, bangsa dan negara.

Keadaan remaja lelaki yang semakin meruncing ini memerlukan tindakan yang amat segera. Ia sebenarnya tidak mencukupi dengan hanya mendengar harapan dan doa dari pelbagai pihak, sebaliknya, kita perlu mengembleng tenaga untuk memastikan apa yang diharapkan berubah menjadi kenyataan. Kerjasama dan perhatian dari semua pihak amat diharapkan untuk memastikan agenda membangun rakyat khasnya generasi pewaris dan golongan belia akan tercapai. 





OBJEKTIF

  1. Memahami tentang pendidikan seksual mengikut perspektif Islam.
  2. Mengetahui cara-cara menangani pergaulan dan fenomena perlakuan  tidak sihat.
  3. Memahami dan mempraktikkan sikap asertif dalam situasi tertentu.
  4. Melindungi diri dari terjebak dengan perkara-perkara yang bercanggah dengan ajaran Islam .

Program ini akan dikendalikan sepenuhnya oleh Ustaz Mohd Zawawi Hj Mughni. Dalam program ini, hal-hal berkaitan dengan lelaki akan diberi keterangan khusus dan lebih mendalam, memberi penekanan kepada peranan seorang lelaki sebagai pemimpin kepada negara, masyarakat, keluarga, isteri dan anak-anak serta memberi kesedaran kepada remaja lelaki untuk menjadi pelindung kepada kaum wanita dan sekali gus dapat mencegah atau mengelakkan gejala zina yang semakin berleluasa kini. 

Seandainya berminat untuk bekerjasama dengan pihak kami, anda boleh menghubungi:

Pihak Pengurusan : 03-5166 1273


PROGRAM PENCEGAHAN ZINA - BAHAGIA MENJADI GADIS (BMG)


KEMPEN KESEDARAN BAHAYA ZINA


Menyedari dan menginsafi fenomena kebejatan akhlak dan keruntuhan nilai remaja sekarang benar-benar berada di tahap yang membimbangkan maka kami dari Pertubuhan Kebajikan Darul Wardah Selangor merasa terpanggil untuk menjalankan satu program pendidikan khusus kepada remaja-remaja perempuan sebagai satu langkah menangani masalah-masalah sosial yang semakin membarah.

Sebagai sebuah NGO yang berteraskan dakwah dan tarbiyah, kami berpendapat usaha-usaha pencegahan dapat dilakukan melalui siri-siri pendedahan dan pendidikan yang berterusan. Kami prihatin terhadap masa depan remaja-remaja yang akan menjadi pewaris kepada pembangunan negara pada masa akan datang.

Bimbingan dan tunjuk ajar secara ikhlas dan berterusan amat perlu dititik beratkan kepada remaja agar mereka akan menjadi warga yang berguna kepada agama, bangsa dan negara kelak. Melihatkan masalah sosial terutamanya seks bebas melibatkan kebanyakannya remaja –remaja perempuan, kami telah merangka satu program jati diri remaja iaitu ’Bahagia Menjadi Gadis(BMG)’.




Program yang bertunjangkan kepada nilai-nilai agama diharapkan dapat membenteng diri remaja dari terjebak ke kancah kemungkaran. Kami amat berharap program ini akan mendapat dokongan dan sokongan padu dari pelbagai pihak yang mahu bersama kami menangani masalah yang kian meruncing ini.

Bayangkan kajian kes yang dipapar bermula sekitar awal 80-an dan 90-an telah menunjukkan angka yang amat menakutkan kita semua. Betapa tenatlah lagi keadaannya sehingga ke alaf baru ini yang melaungkan slogan “langit terbuka”.

Justeru team Darul Wardah telah mengadakan jelajah Bahagia Menjadi Gadis (BMG) di sekolah-sekolah, institusi-institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta, kepada ibu bapa dan banyak lagi.


OBJEKTIF PROGRAM
  1. Memahami tentang pendidikan seksual mengikut perspektif Islam.
  2. Mengetahui cara-cara menangani pergaulan dan fenomena perlakuan seks bebas.
  3. Memahami dan mempraktikkan sikap asertif dalam situasi tertentu.
  4. Melindungi diri dari terjebak dengan perkara-perkara yang bercanggah dengan ajaran Islam.
Antara pengisian yang terdapat dalam program BAHAGIA MENJADI GADIS (BMG) adalah : 

  1. Pengenalan kepada peserta mengenai air mani, mazi dan wadi;
  2. Pendedahan mengenai bahaya zina dan kemahiran arsertif  menjauhkan diri dari bahaya zina;
  3. Tayangan video dan perkongsian pengalaman daripada penghuni Darul Wardah;
  4. Terapi solat;
  5. Terapi penggunaan air sebagai al shifa'. 
  6. Terapi asma al husna. 



 * Tayangan video 

* Pengenalan BMG 

* Kemahiran arsertif dalam bentuk berkumpulan 



* Terapi kekuatan asma al husna 



* Terapi Solat 


* Perkongsian pengalaman daripada pelatih Darul Wardah



* Program Parenting yang disampaikan oleh Ustaz Zawawi dan Ustazah Hazlina di Darul Wardah 


Sekiranya berminat untuk bekerjasama dengan kami dalam menangani dan memberi kesedaran bahaya zina kepada masyarakat dan anak remaja, anda boleh menghubungi :

Pihak pengurusan : 03-5166 1273




LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...