Friday, September 11, 2015

TAKLIMAT HIV DAN AIDS PKD KLANG



Apa khabar iman kita pada hari ini?. J

Moga-moga Allah sentiasa melimpahkan rahmat dan redhaNya kepada kita semua, ameen.
Terima kasih diucapkan kepada semua pengunjung blog Darul Wardah ini. Moga kalian semua dapat mendoakan kami warga Darul Wardah agAar terus diberi kekuatan dariNya. J

InsyaAllah, seperti yang dijanjikan kami akan terus berkongsi segala aktiviti yang dilakukan bersama penghuni di Darul Wardah.

Alhamdulillah, pada 15 April yang lalu, Unit AIDS/STD, Pejabat Kesihatan Daerah Klang yang diketuai oleh Dr. Zul telah mengunjungi kami di Darul Wardah sekaligus memberikan perkongsian berkaitan HIV dan AIDS serta melakukan ujian saringan HIV/AIDS kepada para penghuni Darul Wardah.


Hadir bersama Dr. Zul ialah Encik Fahzan (inspektor kesihatan), Pn. Idayu dan seorang penghidap HIV. Perkongsian berkaitan HIV/AIDS disampaikan oleh Dr. Zul sendiri.






*Para penghuni khusyuk mendengar taklimat HIV/AIDS






*Antara slide yang dibentangkan oleh Dr. Zul



Penyakit HIV/AIDS hanya dapat dikesan sekurang-kurangnya 6 bulan setelah seseorang mendapat atau dijangkiti virus tersebut dan memakan masa yang agak lama. Sekiranya seseorang penghidap HIV/AIDS tidak mendapat rawatan yang selayaknya, virus tersebut akan menular dengan lebih cepat berbanding dengan penghidap yang sentiasa mendapatkan rawatan dan mereka boleh bertahan untuk terus hidup dengan lebih lama seperti orang normal yang lain.

Setelah Dr. Zul selesai memberi taklimat, Kak Ani (bukan nama sebenar) yang merupakan seorang penghidap HIV positif telah memberikan perkongsian kepada para penghuni tentang bagaimana beliau boleh dijangkiti penyakit tersebut. Menurut Kak Ani, dia menerima jangkitan tersebut daripada suami beliau yang merupakan penghidap HIV positif. Kini, beliau mendapat rawatan dan nasihat daripada PKD Klang.

Kemudian, semua penghuni Darul Wardah melakukan pemeriksaan saringan HIV/AIDS dan alhamdulillah kesemua mereka bebas daripada dijangkiti virus tersebut.

Terima kasih diucapkan kepada Dr. Zul dan sahabat-sahabat beliau kerana sudi meluangkan masa di rumah kami. J


Wallahu’alam.





KISAH SEBUAH BUKU MERAH





“Assalamualaikum kak, busy ke?”

“Waalaikummusalam. Ya cik puan Fatimah (bukan nama sebenar). Takde busy mana. Macam mana sekarang? Sihat?”

“Alhamdulillah kak, sihat. Sekarang saya dah pindah ke Melaka. Ikut suami.”

“Ok. So macam mana pengantin..ada berita gembira nak bagi tahu ke?”

“Haah kak, kita dah nak masuk 5 minggu dah ni.”

“Alhamdulillah..tahniah”

“Tapi kita ada masalah sikit la kak. Kita nak buka buku merah esok kat klinik. Kita nak bagi tahu macam mana ya. Nak cakap mengandung anak first ke second kak sebab kena bagi tarikh nikah sekali. Kalau bagi tahu anak first, kesan stretchmark kita ni nampak sangat kat perut, mesti dia orang tahu kita mengandung anak kedua. Kalau cakap anak kedua, tarikh nikah kita baru lagi dan mesti nurse minta buku merah yang lama. Kita risau la kak.”


Itu adalah perbualan sebenar melalui telefon dengan salah seorang alumni Darul Wardah beberapa hari yang lepas. Syukur, dia telah menemui seorang lelaki budiman yang menerima dia seadaanya dan sanggup menerima amanah dan menyelamatkan maruah seorang gadis yang ternoda akibat nafsu rakus lelaki durjana.

Gadis ini telah berkahwin pertengahan tahun 2015 yang lalu dan telah memulakan kehidupan yang baru bersama suami tercinta. Dengan rahmat Allah SWT, pasangan ini bakal menimbang cahaya mata cinta mereka beberapa bulan akan datang.  

Walaupun telah mempunyai satu kehidupan baru dengan suasana dan tempat yang baru, namun kisah silam tetap membayangi dan mengekori dirinya. Malah ia seolahnya akan menghantui dan membelenggu diri untuk mungkin sepanjang perjalanan hidup di dunia. Bagaimana kehidupannya selepas ini dan bagaimana kehidupan seorang kanak-kanak perempuan yang comel yang dilahirkan sebelum ini. Bagaimana pula salur galur keturunan anak yang tidak berdosa itu.  

Zina bukan sahaja membawa malapetaka kepada masyarakat malah ia juga akan meninggalkan berjuta sisipan duka dalam kehidupan. Maha Besar Allah telah berfirman  dalam surah Al-Isra’ ayat 32 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan keji yang membawa kepada kerosakan.”

Kami melihat sendiri kerosakan yang di bawa oleh ZINA di Darul Wardah. Terlalu ramai anak gadis remaja kita yang terpedaya dengan ZINA. Malah bukan hanya sekali berzina hingga mengandung dan masuk ke rumah kami, tetapi kebanyakkan kes adalah yang berulang-ulang kali sehingga melahirkan lebih daripada seorang anak hasil hubungan ZINA. Rosak hubungan dengan ibu bapa hingga mungkin menjadi anak derhaka. Rosak hubungan dengan adik-beradik hingga hilang kepercayaan sampai bila-bila. Rosak hubungan dengan masyarakat hingga dipandang hina dan tidak bermaruah, di cemuh dicaci orang sekeliling. Apa yang paling dibimbangi, rosak akidah hingga keras hati tidak jumpa jalan untuk kembali.

Kisah Buku Merah ini benar-benar memberi kesan mendalam kepada saya. Walaupun sudah bertaubat dan berusaha untuk memperbaiki diri, bayang-bayang hitam silam tetap menghantui. Jatuh simpati saya untuk mereka kerana ada di kalangan anak-anak ini benar-benar insaf dan bertaubat sepenuh hati. Kami di sini hanya mampu menitip doa moga mereka tetap istiqomah dan tabah dalam mengharungi hidup hingga ke akhirnya. Moga Allah Maha Pengasih Maha Pengampun mengurniakan rahmat dan hidayahnya kepada kita semua kerana sesungguhnya Maha Pengasih Allah juga berfirman dalam surah As-Zumar ayat 53 yang bermaksud: “Katakanlah wahai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Dan semoga taubat anak-anak di Darul Wardah ini diterima Allah dan semoga taubat mereka adalah sebenar-benarnya taubat nasuha kerana janji Allah yang Maha Menerima Taubat ada berfirman, “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan “Taubat Nasuha”, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai.” (At-Tahrim: 8)

Mohon doakan kami disini. Amin ya Rabb.



LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...