3 FEBRUARI 2018 (SABTU)
Seawal 8.30 pagi penghuni Darul Wardah dan juga komuniti Jalan Kebun telah bersedia untuk ke Dewan Megawati Kediaman Rasmi YAB Dato' Menteri Besar Selangor untuk menghadiri kursus Rahsia Pengurusan Bayi anjuran PEKAWANIS, P.T.N.S dan juga Kids Campus Sdn. Bhd.
Anak-anak DARWA dan komuniti Jalan Kebun mula menaiki bas |
Majlis dimulakan dengan ucapan perasmian oleh Y. Bhg Datin Seri Shamsida Taharin, Yang Dipertua PEKAWANIS. Beliau memperkenalkan panel yang bakal memberi pengisian membuatkan para hadirin teruja untuk memulakan kursus. Seusai ucapannya, majlis diteruskan dengan panel yang pertama iaitu Dr. Catur Setiowargo, Perunding Pendidikan Awal Kanak-Kanak. Beliau didatangkan khas dari Indonesia. Dr Catur mendedahkan kepada hadirin mengenai persediaan menimang cahaya mata. Seorang bayi perlu menangis seawal dia dilahirkan kerana itu petanda pernafasannya normal. Bayi juga memerlukan susu ibu kerana susu ibu mengandungi semua nutrien yang diperlukan oleh ibu. Maklumat penting Dr Catur ingatkan juga adalah permainan yang paling efektif untuk bayi adalah wajah ibu bapanya sendiri. Bermakna tubuh anda, sentuhan anda merupakan permainan yang penting untuk bayi anda.
Dr. Catur sedang memberi pengisian |
Selesai sesi pertama, majlis menjemput Ustazah Hazlina untuk memberikan sedikit pengisian. 5 minit yang diberikan kepada ustazah diisi dengan maklumat yang ringkas dan padat. Ustazah menyarankan kepada hadirin supaya mengamalkan Surah Ibrahim ayat ke 40 untuk dikurniakan zuriat dan keturunan yang sentiasa menjaga solat. Solat yang dijaga menjamin kebahagiaan rumah tangga.
Sesi kedua disampaikan oleh Puan Hjh Rohaya binti Darael, Mantan Jurulatih Jururawat KKM. Beliau menerangkan cara-cara memandikan bayi dengan betul dan juga kaedah penyusuan bayi. Demonstrasi juga ditunjukkan agar para hadirin lebih memahami pengisianya. Kaedah memandikan dan penyusuan perlu dilaksanakan dengan cara yang betul untuk mengelakkan sebarang kemalangan yang tidak diingini berlaku kepada bayi.
Seusai sesi kedua, kursus diteruskan dengan panel yang terakhir iaitu, Puan Mazni Dato' Zainal Abidin, Pakar Urutan Bayi. Beliau mendedahkan kaedah urutan yang betul yang perlu dilakukan oleh ibu bapa kepada bayi supaya tidak memudaratkan kesihatan bayi. Sebagai contoh, jika bayi mengalami sakit perut, urutan yang perlu dilakukan adalah bermula dari kiri dibawa ke kanan. Jika dilakukan sebaliknya, sakit perut tidak akan pulih.
Para peserta tekun mendengar penyampaian yang diberikan |
Tepat jam 1 tengah hari, selesai semua sesi dan diadakan sedikit sesi fotografi bersama semua panel dan para peserta kursus. Sebelum bersurai, para hadirin dijamukan dengan jamuan makan tengah hari yang sangat membuka selera.
Sesi fotografi bersama peserta dan panel |
Terima kepada semua pengajur yang mengadakan kursus ini. Diharapkan kursus ini dapat memberi jutaan manfaat kepada para peserta khususnya kepada semua penghuni Darul Wardah. Semoga ilmu yang diperoleh dari kursus ini dapat dipraktikkan dalam kehidupan seharian kita. InsyaAllah 😊