Monday, August 6, 2012

Baju Raya Mereka~

Selawat dan salam buat junjungan mulia, nabi ALLAH, kekasih ALLAH, rasulullah sallallahu alaihi wasallam.



Alhamdulillah, dalam kesempitan waktu membuat persediaan untuk 2 majlis iftar yang bakal berlangsung pada selasa dan rabu ini selain rutin-rutin yang lain, kami; staf DARWA dan dibantu sukarelawan masih lagi sempat membawa 4 orang anak muallaf ke GM Klang untuk membeli baju raya mereka.


Ain, Aini, Kamelia serta Luqman, yang kini belajar di Institut Taufiq Islami [asrama untuk anak yatim dan muallaf miskin], merupakan anak-anak muallaf yang berada di bawah perhatian DARWA. Ain dan Aini;  adik-beradik dan ibu mereka; kak Siti Khadijah adalah salah seorang alumni DARWA yang baru memulakan pekerjaan dan masih tidak punyai rumah; hanya menetap di asrama pekerja yang disediakan oleh majikan. Jadi itu menyukarkan untuk anak beranak ini tinggal bersama walaupun Ain dan Aini bercuti sekolah. Selalunya DARWA lah yang menjadi tempat mereka menghabiskan cuti. 

Kisah keluarga ini agak panjang dan berbelit. Pernah satu hari, selepas hampir sebulan meninggalkan DARWA dan menetap di sebuah rumah NGO muallaf di pinggir kota Kuala Lumpur kerana mahu mencari kerja, kami melawat kak Siti Khadijah yang tinggal bersama anak kecilnya; Asyikin yang baru berusia 6 bulan. Dalam segan, kak Siti Khadijah memberitahu yang dia langsung tidak punyai wang sedangkan bekalan makanan hampir habis. Menangis dia sewaktu memaklumkan nasib diri. Sempat kami melihat di atas meja makan, cuma ada 2 keping ikan kering, dan sedikit nasi. Selepas berbincang, kami membawa anak kecilnya pulang ke DARWA untuk dijaga sementara agar ibunya dapat keluar mencari kerja. Maka, bermulalah episod kehidupan Asyikin di DARWA; terpisah dari ibunya dan adik-beradik yang lain. Alhamdulillah, Asyikin disayangi oleh semua warga DARWA dan hampir 5 bulan dia bersama kami.

Kamelia punya kisah yang agak menyedihkan. Bapanya, seorang muallaf telah menyerahkan dia kepada neneknya yang masih dalam agama asal. Ibunya entah ke mana. Kerana sedar yang cucu dan nenek berlainan agama, maka neneknya telah menghantar Kamelia ke Institut Taufiq Islami untuk dijaga dan dididik. Keadaannya juga sama seperti Ain dan Aini, tiada tempat untuk dituju jika musim cuti persekolahan tiba. Maka DARWA lah yang menjadi tempat persinggahan mereka.

Kisah Luqman sangat menyayat hati. Punya ibu, tetapi mengalami sedikit masalah mental kesan dari penderaan yang dialami selepas keluarga mendapat tahu tentang pengislamannya. Ibunya sekarang masih menetap di rumah yang disediakan oleh Majlis Agama Daerah. Pada batang tubuh Luqman, terdapat kesan-kesan penderaan yang teruk yang jelas lagi ketara walaupun peristiwa itu berlaku semasa dia kecil. Panjang lagi sebenarnya kisah Luqman dan ibunya, namun kami tidak dapat ceritakan di sini. 

Teringat perbualan dengan Luqman petang tadi, "Ustazah, boleh belikan saya selipar? Saya pinjam selipar kawan ni..", saya tersenyum padanya. Sudah beberapa pasang selipar saya belikan untuknya, setiap kali melawat dia di asrama, pasti selipar lah yang diminta kerana katanya; selipar hilang diambil kawan.

Pernah, satu ketika dahulu saya hampir menangis apabila dia meminta saya belikan sebatang pensil untuk menulis. Katanya, "saya tak de pensil, kalau nak menulis, saya pinjam yang ustaz punya, atau kawan saya punya.." ALLAHU ALLAH.. berkali-kali saya bertanya Tuhan, "ujian apakah ini ya ALLAH? ujian apakah ini untuk anak sekecil dia?

Alhamdulillah, selepas saya menaikkan status di FB peribadi, meminta sumbangan duit poket dan alatan persekolahan untuk Luqman, beberapa orang hamba ALLAH berhati mulia telah menyahut seruan dan memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun. Sehingga sekarang, masih lagi ada antara mereka yang menyumbang secara tetap hampir setiap bulan. Alhamdulillah..alhamdulillah, ALLAH Taala menghantar hamba-hambaNYA untuk membantu.

Petang tadi, setiap seorang mendapat sepasang baju raya, tudung, dan selipar. Luqman meminta sehelai jubah, begitu juga dengan 3 yang lain. Alhamdulillah, atas hubungan baik dengan ustaz yang menjaga mereka di asrama, telah memungkinkan kami untuk membawa mereka keluar dari sana walaupun sekejap. Melihat senyum riang di wajah mereka, selepas masing-masing mendapat baju raya; itu sudah cukup buat kami sebagai pengubat penat dan letih. Bagi kami. tenaga yang ALLAH Taala pinjamkan ini, kami pulangkan semula kepada DIA. Inshallah..

Akhiran, jazakumullahukhairan kathira.. buat penyumbang-penyumbang berhati mulia. ALLAH taala sahaja yang dapat membalas jasa baik kalian. Semoga diberi ganjaran yang sebaik-baiknya di dunia dan di akhirat kelak. Ameen.

mijaazmiza: Asyikin, mamamija rindu awak.. sangat-sangat!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...