Datangnya tetamu itu, dengan membawa rezki. Kerana itu, Islam menganjurkan umatnya untuk meraikan tetamu sebaik mungkin.
Alhamdulillah, syukur kepada ALLAH Taala kerana menggerakkan hati hamba-hambaNYA untuk datang bertamu di DARWA ini. Seminggu ini, kami menerima kedatangan tetamu yang ramai. Datang untuk berkongsi ilmu, ada juga yang kali pertama datang, mengikut sahabatnya, "datang untuk kenal-kenal, inshallah lain kali boleh datang lagi", kata mereka. Tidak kurang juga, yang datang memberi sumbangan barangan dapur dan kewangan. Moga ALLAH Taala mengurniakan rezki yang melimpah ruah buat mereka.
Bermula dengan kedatangan seorang hamba ALLAH, datang menghantar barangan dapur. Esoknya, kami dikunjungi oleh dua orang kakak yang berhajat memberi sumbangan untuk iftar, kemudian bersama adik-adik penghuni dalam berkongsi nasihat semasa Slot Tazkirah Ramadhan. Kedatangan Ustaz Kamarul [Exco ABIM Selangor], amat kami hargai, jauh datang dari Kuala Selangor semata-mata untuk menyampaikan pesanan yang baik-baik kepada penghuni.
Kami juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Naib Presiden [Antarabangsa] Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia [PKPIM], Saudara Muiz dan ahli rombongan; Saudara Fazril dan Saudara Abdullah yang datang beriftar dan menjadi imam terawih di sini. Jadi, dapatlah kami berimamkan pemuda soleh setelah malam-malam Ramadhan yang sebelumnya, terawih kami hanya berimamkan sahabat-sahabat di kalangan kami sahaja. Tidak lupa, Saudari Atiqah, Hana, Farah dari HEWI PKPIM yang menjadi imam qiyamullail; Jazakumullahu khairan kathira~
Kehadiran sahabat bertiga dari UM, yang diketuai oleh Ustazah Hasliza, menginfakkan masa selama sehari semalam di sini untuk sesi tazkirah, tadarus, iftar bersama, menjadi imam terawih dan imam qiyamullail. Semoga ALLAH Taala kurniakan kekuatan yang tidak putus-putus untuk kita semua bagi mendidik diri dan mendidik insan-insan lain.
Alhamdulillah, hari ini, Jumaat kami dikunjungi oleh Prof.Dr. Rahmah Hashim; mantan Ketua HELWA ABIM Pusat, sekarang berposisikan Naib Presiden WADAH. Datangnya beliau ke mari untuk sesi membedah buku; Apa Erti Aku Menganut Islam [atau disebut; Maza Yakni], tulisan as syahid Imam Hassan al Bana.
Inshallah, semoga usaha-usaha ini dikira sebagai amal ibadat di sisi Tuhan. Tidak dilupa, Kak Fathiyah [Novelis terkenal], Saudari Hafifiy, dan rombongan mahasiswi dari UTM yang datang membuat kaji selidik. Moga peroleh hikmah atas kunjungan. Inshallah.