Sunday, January 24, 2016

PERKONGSIAN PENGALAMAN DARIPADA ALUMNI DARUL WARDAH

Alhamdulillah, pada kali ini warga Darul Wardah dikunjungi oleh salah seorang alumni Darul Wardah yang sudi berkongsi pengalaman sepanjang beliau tinggal di Darul Wardah suatu ketika dahulu. Kini, beliau telah berjaya dalam pelajaran dan berusaha untuk menjadi muslimah yang lebih baik dari hari ke hari.

Setelah 4 tahun meninggalkan Darul Wardah, beliau muncul semula untuk berdakwah bersama kami. Saat beliau menjejakkan kami semula ke Darul Wardah, air mata beliau tidak henti-henti mengalir, terimbau kenangan lalu yang amat perit dan sukar untuk dilupakan. Beliau juga seperti kebanyakan pelatih yang lain, masuk ke Darul Wardah kerana telah mengandung setelah melakukan hubungan terlarang dengan kekasih sendiri.


Namun, Alhamdulillah beliau tidak mengambil jalan yang salah daripada menggugurkan anak itu sebaliknya di Darul Wardah, beliau berusaha sebaik mungkin untuk berubah dan menjadi muslimah yang lebih baik.



Dalam kesedihan, beliau tetap meneruskan perkongsian kepada para pelatih yang ada.

Antara perkongsian daripada beliau,

“Saya masih ingat saat saya dihantar oleh mak ayah ke DARWA, saya ditinggalkan begitu sahaja. Mak ayah saya langsung tak pernah melawat saya di sini kerana sangat marah dengan apa yang telah saya lakukan. Segala kelengkapan untuk menyambut kelahiran anak saya, saya guna baki duit PTPTN yang masih berbaki. Saya terpaksa menangguh pengajian kerana telah mengandung dan tidak mahu kawan-kawan yang lain tahu”.
“Sepanjang saya di Darul Wardah, saya cuba memperbaiki diri. Saya hanya bersendiri ketika itu tanpa sokongan ahli keluarga. Tapi saya tahu semua tu salah saya. Saya cuba berubah jadi anak yang baik kepada mak ayah sebab saya dah banyak sakitkan hati mereka”.


Ketika ujian terus menimpa
Di saat seolah-olah tidak ada yang membantu
Di waktu seolah-olah tidak ada yang menolong
Itu mungkin teguran dari Allah
Agar kita sedar bahawa hanya Allah tempat bergantung
Supaya kita ingat
Hanya Allah tempat memohon pertolongan


“Bukan saya nak riak, tapi Alhamdulillah sejak saya masuk DARWA, saya tak pernah tinggal Qiamullail sampaikan saat di malam saya sakit nak bersalin pun saya kuatkan diri untuk bangun qiam. Saya kata, ‘aku tak qiam lagi malam ni’. Alhamdulillah, Allah hilangkan langsung sakit waktu tengah solat tu.”.


“MUSIBAH yang membuatkan kita makin dekat pada Allah lebih baik daripada KENIKMATAN yang membuatkan kita lupa mengingati Allah”.


“Hari-hari saya berdoa kepada Allah, ‘Ya Allah, berikan aku kesakitan yang sama macam mana mak aku rasa masa melahirkan aku’. Dan semasa saya nak bersalin saya rasa lebih daripada itu. Jantung anak saya berhenti tiba-tiba dan saya terpaksa dibedah. Tapi kuasa Allah, ubat bius langsung tidak berfungsi. Saya merasai bagaimana sakit dan peritnya ditoreh perut hidup-hidup walaupun untuk beberapa ketika.”

Saat itu hanya satu doa saya,


‘Ya Allah, jangan matikan aku sebagai seorang PENZINA’.


Malah setelah bersalin, saya masih lagi merasai kesakitan akibat daripada luka pembedahan. Luka pembedahan mengalami jangkitan kuman sehingga bernanah dan terpaksa mendapat rawatan. Sepanjang tempoh berpantang, saya hanya makan nasi putih dan ikan bilis bakar kerana takut luka saya semakin parah”.

“Saya hanya sempat menjaga anak saya dalam tempoh 30 hari sahaja dan kemudian mak ayah saya meminta anak saya diserahkan kepada keluarga angkat. Saya terpaksa menuruti kemahuan mak ayah walaupun saya ingin sekali menjaga anak saya. Tetapi demi menjaga hati mak ayah, saya serahkan juga anak saya kepada keluarga angkat. Dan hingga kini, saya tidak berpeluang untuk berjumpa dengan anak saya semula”.

Cerita beliau lagi, “Sepanjang saya tinggal di Darul Wardah, ada berlaku tempoh di mana saya seorang sahaja yang menjadi penghuni di Darul Wardah. Beberapa rakan yang lain keluar masuk dan ada yang lari dari Darul Wardah silih berganti. Ada yang lari melalui pagar belakang DARWA sehingga sanggup meredah ladang nenas yang penuh duri sehingga saya sendiri pelik, tak sakit ke dalam keadaan mengandung?.”

Kemudian, salah seorang penghuni bertanya kepada beliau, kenapa beliau tidak lari seperti kawan-kawan yang lain walaupun mempunyai peluang?

Jawab beliau, “Saya masih tidak bersedia untuk keluar kerana saya amat takut untuk menjalani kehidupan di luar lagi, hinggakan saya sendiri meminta tempoh kepada ustazah supaya dipanjangkan masa keberadaan saya di DARWA. Untuk membantu saya walaupun saya telah tamat dari menjalani pemulihan di DARWA, Ustazah Hazlina memberi pekerjaan kepada saya untuk menjadi pembantu di tadika milik ustazah sebelum saya menyambung semula pengajian saya”.


Hingga kini, ibu bapa beliau masih tidak dapat menerima dirinya dan dianggap seperti orang asing di rumah sendiri. Itulah harga yang terpaksa dibayar terhadap apa yang telah dilakukan. Beliau telah berusaha sebaik mungkin untuk memulihkan hubungan beliau dengan ibu bapa dan juga cuba menjadi hamba Allah yang lebih taat.


Hati kita milik ALLAH
Bila rasa sedih, berbaliklah pada ALLAH
Bila rasa keliru, berbaliklah pada ALLAH
Bila rasa gembira, berbaliklah pada ALLAH.


InsyaAllah, bila kita bersyukur dengan apa yang kita ada
Kita tidak akan risau dengan apa yang bukan milik kita.

Moga Allah Redha J


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...