Monday, August 13, 2012

Rezeki mereka~

Alhamdulillah pada sabtu lepas, DARWA dikunjungi oleh sekumpulan sahabat yang berhasrat menyumbang barangan keperluan harian kepada 9 keluarga muallaf yang berada di bawah perhatian DARWA. Kumpulan sahabat yang diketuai oleh Cik Fida Viantymala, yang tiba pada jam 4 petang telah disambut oleh Pengerusi DARWA; Ustazah Hazlina Abdul Razak dan suami beliau; Ustaz Zawawi Mughni.




Selepas sesi perkenalan [taaruf], barangan sumbangan telah diagih-agihkan kepada mereka yang hadir. Alhamdulillah, sahabat-sahabat muallaf ini sangat gembira dengan pemberian tersebut kerana sekurang-kurangnya dapat meringankan beban mereka untuk bulan ini. 



Alhamdulillah, rezeki mereka melimpah ruah pada Ramadhan ini dan harapnya, sumbangan-sumbangan seperti ini tidak musim-musiman sifatnya. Buat teman-teman, teruskan lah membantu mereka yang memerlukan, tidak hanya pada bulan Ramadhan yang mulia, tetapi berterusan sepanjang tahun. Setiap rezeki yang ALLAH Taala kurniakan kepada kita, ingatlah bahawa ada hak orang lain padanya. 




Bersedekah tidak hanya menyucikan harta, tetapi turut menyucikan jiwa dari karat-karat dosa. Inshallah.

mijaazmiza: Inshallah, ini post terakhir sebelum pulang beraya di kampung halaman. Semoga ini bukan post terakhir dari diri ini. Doakan agar perjalanan dilindungi dan dipermudahkan oleh ALLAH Taala. Rindu mahu mengucup tangan dan menatap wajah bening bonda.

”Ambillah tulang belulangku. Aku sudah tidak ada apa lagi ya Rasul. Yang ada hanya tulang belulang ini. Ambillah ia jika aku telah wafat. Jadikan ia jambatan untuk sahabatmu pergi berjihad.” Kata Khadijah al kubra.

Sesi Temuramah @ DARWA

Maaf, buat sementara ini kami terpaksa menghadkan kedatangan pelajar/mahasiswa yang ingin datang membuat temuramah di DARWA.

Namun, jika ada yang ingin berbuat demikian, prosedur kami adalah:
1- emel kan proposal kajian ke azmiza_nam@yahoo.com

kemudian,
2- kami akan meneliti proposal tersebut dan baru membuat keputusan samada diterima/diluluskan atau tidak diluluskan.

3- lulus atau tidak, akan kami maklumkan menerusi emel.

jika lulus,
4- temujanji akan dibuat berdasarkan tarikh kelapangan kami.
[diingatkan, kami tidak akan melayan sebarang permintaan yang datang pada minit-minit terakhir. Jadi, sila buat temujanji sekurang-kurangnya 2 minggu sebelum tarikh kedatangan]

5- kami mungkin tidak akan menunaikan permintaan untuk mengadakan sesi temuramah dengan penghuni; hanya kes-kes tertentu sahaja yang akan kami luluskan.

DAN..syarat kami yang PALING UTAMA; kedatangan ke mari bukan hanya sekadar untuk menyiapkan tugasan, tapi, kerana BENAR-BENAR ingin tahu tentang realiti permasalahan umat hari ini.

Iqra' bismirabbikallazi qalaq~ Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan.


Moga dapat dijadikan panduan sebelum memohon. Inshallah.

Azmiza
Pengurus DARWA




Majlis Iftar dan Sumbangan~ Herbalife [Gen H] @ DARWA


Alhamdulillah, DARWA menerima kunjungan tetamu yang tidak putus-putus sejak dari awal Ramadhan lagi. Kali ini, kedatangan lebih 20 orang ahli rombongan Gen H [generasi bawah 30 tahun] dari Kelab Nutricity Herbalife Taman Melawati yang diketuai oleh Uncle Allen Peter, disambut gembira oleh seluruh warga DARWA. Majlis iftar dan penyampaian sumbangan yang berlangsung pada 8 Ogos turut dihadiri oleh 10 buah keluarga muallaf serta 4 orang anak-anak muallaf [yang belajar di Institut Taufiq Islami] yang berada di bawah perhatian DARWA.




Majlis bermula pada jam 6 petang dengan ketibaan para tetamu dan penerima sumbangan. Tepat jam 6.30 petang, Ustaz Mus'ab telah menyampaikan Tazkirah Ramadhan kepada mereka yang hadir dengan menyentuh topik berkaitan nuzul al Quran serta peristiwa-peristiwa besar lain yang berlaku pada bulan Ramadhan.



Istimewanya majlis iftar kali ini, semua yang hadir dijamu dengan shake Herbalife yang dikisar [blended] khas oleh team shake untuk berbuka puasa. Alhamdulillah, makanan sihat yang agak mahal tapi diberi percuma.



Selepas maghrib berjemaah dan menjamu selera, diadakan sesi perkongsian [sharing session] bersama Pengurus DARWA; Cik Azmiza. Beliau berharap agar, sesi ini sedikit sebanyak membangkitkan rasa 'perlu berbuat' bagi membantu dan mengatasi masalah umat yang semakin parah. Jika tidak dapat menginfakkan wang ringgit, cukuplah dengan infak masa dan tenaga.




Uncle Allen dan Auntie Asriah, dalam ucapan mereka, menyatakan bahawa mereka berasa amat bertuah kerana diberi peluang oleh ALLAH Taala untuk hadir ke DARWA, dan turut berkata bahawa mereka sangat terkesan dengan apa yang telah disampaikan. Justeru, uncle dan auntie menyeru seluruh team Gen H Herbalife yang hadir agar dapat terus istiqamah untuk membantu apa yang perlu.

Dalam majlis ini, 10 keluarga muallaf yang hadir telah diberikan sumbangan kewangan bagi membantu mereka membeli keperluan untuk menyambut hari raya tidak lama lagi. Manakala, anak-anak kecil yang hadir turut mendapat duit raya masing-masing.




Alhamdulillah, DARWA turut tidak ketinggalan; mendapat sumbangan rak buku dan buku-buku agama, majalah-majalah, serta barangan keperluan bayi, selain kos majlis pada hari tersebut ditanggung sepenuhnya oleh team Herbalife.


Alhamdulillah, majlis yang berlangsung dengan lancar dan harmoni ini, berakhir selepas solat terawih berjemaah dan moreh. Semoga ALLAH Taala mengurniakan rezki yang tidak putus-putus buat semua yang hadir dan juga yang menyumbang. Hanya ALLAH Taala sahaja lah yang mampu membalas jasa baik yang telah dicurahkan. Inshallah..



mijaazmiza: sangat gembira apabila melihat senyuman manis di wajah-wajah mereka yang menerima sumbangan. Tidak senang sebenarnya untuk mereka mencari rezki dalam suasana masyarakat yang masih ada rasa prejudis. Ada ketika, terpaksa mereka menebalkan muka menghadap ustaz/ustazah untuk meminta sedikit wang bagi membeli keperluan dapur.

Itu ujian mereka, manakala ujian kita, lain pula..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...