Tuesday, October 2, 2012

gotong royong @ darwa

Bertarikh 22 september 2012 , telah di adakah program gotong royong bertempat di darul wardah bermula jam 9.00 pagi hingga 12 tengah hari, program yang mengambil masa selama 3 jam ini turut melibatkan beberapa sukarelawan daripada PEPIAS dan adik-adik 'ajk masjid'..

Terima kasih di ucapkan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung bagi membantu malancarkan program ini. Kerjasama anda semua amat dihargai..HANYA ALLAH SAHAJA YANG DAPAT MEMBALAS JASA KALIAN SEMUA..







Monday, August 13, 2012

Rezeki mereka~

Alhamdulillah pada sabtu lepas, DARWA dikunjungi oleh sekumpulan sahabat yang berhasrat menyumbang barangan keperluan harian kepada 9 keluarga muallaf yang berada di bawah perhatian DARWA. Kumpulan sahabat yang diketuai oleh Cik Fida Viantymala, yang tiba pada jam 4 petang telah disambut oleh Pengerusi DARWA; Ustazah Hazlina Abdul Razak dan suami beliau; Ustaz Zawawi Mughni.




Selepas sesi perkenalan [taaruf], barangan sumbangan telah diagih-agihkan kepada mereka yang hadir. Alhamdulillah, sahabat-sahabat muallaf ini sangat gembira dengan pemberian tersebut kerana sekurang-kurangnya dapat meringankan beban mereka untuk bulan ini. 



Alhamdulillah, rezeki mereka melimpah ruah pada Ramadhan ini dan harapnya, sumbangan-sumbangan seperti ini tidak musim-musiman sifatnya. Buat teman-teman, teruskan lah membantu mereka yang memerlukan, tidak hanya pada bulan Ramadhan yang mulia, tetapi berterusan sepanjang tahun. Setiap rezeki yang ALLAH Taala kurniakan kepada kita, ingatlah bahawa ada hak orang lain padanya. 




Bersedekah tidak hanya menyucikan harta, tetapi turut menyucikan jiwa dari karat-karat dosa. Inshallah.

mijaazmiza: Inshallah, ini post terakhir sebelum pulang beraya di kampung halaman. Semoga ini bukan post terakhir dari diri ini. Doakan agar perjalanan dilindungi dan dipermudahkan oleh ALLAH Taala. Rindu mahu mengucup tangan dan menatap wajah bening bonda.

”Ambillah tulang belulangku. Aku sudah tidak ada apa lagi ya Rasul. Yang ada hanya tulang belulang ini. Ambillah ia jika aku telah wafat. Jadikan ia jambatan untuk sahabatmu pergi berjihad.” Kata Khadijah al kubra.

Sesi Temuramah @ DARWA

Maaf, buat sementara ini kami terpaksa menghadkan kedatangan pelajar/mahasiswa yang ingin datang membuat temuramah di DARWA.

Namun, jika ada yang ingin berbuat demikian, prosedur kami adalah:
1- emel kan proposal kajian ke azmiza_nam@yahoo.com

kemudian,
2- kami akan meneliti proposal tersebut dan baru membuat keputusan samada diterima/diluluskan atau tidak diluluskan.

3- lulus atau tidak, akan kami maklumkan menerusi emel.

jika lulus,
4- temujanji akan dibuat berdasarkan tarikh kelapangan kami.
[diingatkan, kami tidak akan melayan sebarang permintaan yang datang pada minit-minit terakhir. Jadi, sila buat temujanji sekurang-kurangnya 2 minggu sebelum tarikh kedatangan]

5- kami mungkin tidak akan menunaikan permintaan untuk mengadakan sesi temuramah dengan penghuni; hanya kes-kes tertentu sahaja yang akan kami luluskan.

DAN..syarat kami yang PALING UTAMA; kedatangan ke mari bukan hanya sekadar untuk menyiapkan tugasan, tapi, kerana BENAR-BENAR ingin tahu tentang realiti permasalahan umat hari ini.

Iqra' bismirabbikallazi qalaq~ Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan.


Moga dapat dijadikan panduan sebelum memohon. Inshallah.

Azmiza
Pengurus DARWA




Majlis Iftar dan Sumbangan~ Herbalife [Gen H] @ DARWA


Alhamdulillah, DARWA menerima kunjungan tetamu yang tidak putus-putus sejak dari awal Ramadhan lagi. Kali ini, kedatangan lebih 20 orang ahli rombongan Gen H [generasi bawah 30 tahun] dari Kelab Nutricity Herbalife Taman Melawati yang diketuai oleh Uncle Allen Peter, disambut gembira oleh seluruh warga DARWA. Majlis iftar dan penyampaian sumbangan yang berlangsung pada 8 Ogos turut dihadiri oleh 10 buah keluarga muallaf serta 4 orang anak-anak muallaf [yang belajar di Institut Taufiq Islami] yang berada di bawah perhatian DARWA.




Majlis bermula pada jam 6 petang dengan ketibaan para tetamu dan penerima sumbangan. Tepat jam 6.30 petang, Ustaz Mus'ab telah menyampaikan Tazkirah Ramadhan kepada mereka yang hadir dengan menyentuh topik berkaitan nuzul al Quran serta peristiwa-peristiwa besar lain yang berlaku pada bulan Ramadhan.



Istimewanya majlis iftar kali ini, semua yang hadir dijamu dengan shake Herbalife yang dikisar [blended] khas oleh team shake untuk berbuka puasa. Alhamdulillah, makanan sihat yang agak mahal tapi diberi percuma.



Selepas maghrib berjemaah dan menjamu selera, diadakan sesi perkongsian [sharing session] bersama Pengurus DARWA; Cik Azmiza. Beliau berharap agar, sesi ini sedikit sebanyak membangkitkan rasa 'perlu berbuat' bagi membantu dan mengatasi masalah umat yang semakin parah. Jika tidak dapat menginfakkan wang ringgit, cukuplah dengan infak masa dan tenaga.




Uncle Allen dan Auntie Asriah, dalam ucapan mereka, menyatakan bahawa mereka berasa amat bertuah kerana diberi peluang oleh ALLAH Taala untuk hadir ke DARWA, dan turut berkata bahawa mereka sangat terkesan dengan apa yang telah disampaikan. Justeru, uncle dan auntie menyeru seluruh team Gen H Herbalife yang hadir agar dapat terus istiqamah untuk membantu apa yang perlu.

Dalam majlis ini, 10 keluarga muallaf yang hadir telah diberikan sumbangan kewangan bagi membantu mereka membeli keperluan untuk menyambut hari raya tidak lama lagi. Manakala, anak-anak kecil yang hadir turut mendapat duit raya masing-masing.




Alhamdulillah, DARWA turut tidak ketinggalan; mendapat sumbangan rak buku dan buku-buku agama, majalah-majalah, serta barangan keperluan bayi, selain kos majlis pada hari tersebut ditanggung sepenuhnya oleh team Herbalife.


Alhamdulillah, majlis yang berlangsung dengan lancar dan harmoni ini, berakhir selepas solat terawih berjemaah dan moreh. Semoga ALLAH Taala mengurniakan rezki yang tidak putus-putus buat semua yang hadir dan juga yang menyumbang. Hanya ALLAH Taala sahaja lah yang mampu membalas jasa baik yang telah dicurahkan. Inshallah..



mijaazmiza: sangat gembira apabila melihat senyuman manis di wajah-wajah mereka yang menerima sumbangan. Tidak senang sebenarnya untuk mereka mencari rezki dalam suasana masyarakat yang masih ada rasa prejudis. Ada ketika, terpaksa mereka menebalkan muka menghadap ustaz/ustazah untuk meminta sedikit wang bagi membeli keperluan dapur.

Itu ujian mereka, manakala ujian kita, lain pula..

Sunday, August 12, 2012

Majlis Iftar DARWA-ABIM Selangor



 7 Ogos 2012/18 Ramadhan 1433H, alhamdulillah telah diadakan Majlis Iftar DARWA-ABIM Selangor yang bertempat di Darul Wardah, Shah Alam. Hampir 70 orang telah hadir untuk sama-sama berbuka puasa dan memeriahkan majlis. Selain Exco ABIM Selangor, ABIM Daerah dan Ahli Lembaga DARWA, turut hadir adalah keluarga muallaf yang berada di bawah perhatian DARWA, sukarelawan dan para penyumbang DARWA.





Selepas berbuka puasa dan solat maghrib berjemaah, majlis telah diteruskan dengan sesi tazkirah yang disampaikan oleh Dr.Wan Adam [Timb.YDP ABIM Selangor]. Ustaz Zawawi Mughni yang mewakili tuan rumah, dalam ucapan beliau; sangat mengalu-alukan kehadiran para tetamu ke DARWA terutamanya mereka yang kali pertama menjejakkan kaki di sini. Beliau berharap agar semua yang hadir akan sentiasa menyokong setiap usaha DARWA untuk membantu ummat.





Manakala Saudara Khairudin bin Abas [YDP ABIM Selangor] sebelum menyampaikan Sumbangan Seorang Sekampit Beras [SSB] kepada mereka yang layak, amat menghargai setiap sokongan dan bantuan yang telah diberikan oleh para penggerak jamaah yang bertungkus lumus memastikan bantuan sekampit beras dapat diagihkan kepada golongan sasaran. Beliau turut memaklumkan yang DARWA bersama ABIM Selangor akan mengadakan majlis makan malam yang bertujuan untuk mengutip dana bagi pembinaan Kompleks DARWA.




Majlis berakhir pada jam 10.30 malam selepas solat sunat terawih dan moreh. Inshallah, semoga majlis iftar seperti ini dapat diadakan pada setiap tahun sebagai medan pertemuan di antara mereka yang banyak menyumbang dan membantu perjalanan DARWA, dengan warga DARWA yang lain.







mijaazmiza: maaf, laporan ini sedikit lewat kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan untuk bergerak laju seperti biasa. Alhamdulillah, kehadiran teman-teman ke mari sedikit sebanyak menceriakan rumah ini dan ahlinya; sebagai pengubat rindu kepada keluarga. 

Friday, August 10, 2012

Anak yatim~gembirakan lah mereka.

http://www.youtube.com/watch?v=seyrQaeckPY


Hati ini sangat-sangat tersentuh apabila menonton video ini. Menangis sambil mengenangkan Lokman [11 tahun], si anak muallaf yang yatim; tiada bapa cuma ada ibu yang kurang upaya. Hidupnya sejak beberapa tahun ini, hanya di Institut Taufiq Islami [sekolah anak2 muallaf dan yatim miskin]. Pada hujung minggu, kawan-kawannya akan pulang ke pangkuan keluarga, tapi dia hanya di asrama.


2 malam lepas, selepas habis iftar di DARWA dan sebelum dihantar pulang ke asrama, dia berkata kepada saya; "Ustazah, sabtu ahad ni saya datang sini [DARWA] boleh?", dia bertanya dengan mata yang penuh harapan. Ini permintaannya yang entah ke berapa kali. Diri ini amat serba salah kerana saya tahu, dia rindukan suasana keluarga, dan mahu seperti kawan-kawannya yang lain; ada RUMAH UNTUK PULANG."Lokman, minta maaf.. tak boleh, kat sini semuanya perempuan.. takde lelaki."


Saya hampakan permintaan dia sekali lagi. ALLAHU.. Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa remuk rendamnya hati ini kerana tidak dapat menunaikan permintaannya.







* Untuk tebus kecewanya yang ini, inshallah, saya sudah rancang dengan staf lain, selepas raya nanti kami akan bawa dia dan kawan-kawannya berjalan-jalan di mana-mana tempat. Inshallah, inshallah... moga-moga ALLAH Taala kurniakan kami ruang waktu yang sebaiknya.




*Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam itu anak yatim dan memuliakan anak yatim.



azmiza
DARWA




"Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya, Adapun orang yang meminta (bantuan pimpinan) maka janganlah engkau tengking herdik; Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya." (Adh-Dhuha: 9-11)



Tabung Dana Pembangunan DARUL WARDAH [DARWA]; Rumah Perlindungan dan Pemulihan Wanita.




TUJUAN TABUNG


Bagi membina bangunan/kompleks DARWA di atas sebidang tanah wakaf yang terletak di Sijangkang, Banting, Selangor.

*Untuk makluman, DARWA hanya menyewa di Rumah 1 dan Rumah 2 yg ada sekarang, di Jalan Kebun, Shah Alam. Rumah 1 telah pun dijual oleh pemilik asalnya, jadi pemilik baru telah memberikan tempoh sehingga hujung tahun 2012, untuk DARWA berpindah kerana mereka mahu mendiami rumah tersebut.

Justeru, kutipan dana amat-amat diperlukan bagi membina sebuah bangunan yang punya dewan solat, dewan aktiviti, bilik kaunseling dan kelasnya yang tersendiri, serta tempat tidur, ruang dapur dan ruang makan yang selesa.

2 rumah yg disewa sekarang boleh memuatkan, maksimum 18 orang, jadi, bangunan baru yang bakal dibina nanti diharapkan dapat menampung 30-40 orang penghuni dalam satu-satu masa. 


 


Kompleks Darul Wardah merupakan salah sebuah komponen dari 5 komponen yang ada dalam Kompleks Pendidikan ABIM Selangor. 4 lagi komponen lain yang akan turut dibina adalah Maahad Tahfiz Sains, Pondok An nur [rumah untuk orang-orang tua], Darul Hannan [rumah anak yatim dan miskin], dan Pusat Latihan Da'wah [PASAK]. Maka, di atas sebab-sebab yang telah dinyatakan tadi, Kompleks Darul Wardah yang akan dibina terlebih dahulu berbanding 4 komponen yang lain. 



APA KES-KES YANG DITANGANI DI DARWA?


3 kategori kes yg diterima dan diuruskan oleh DARWA,
 1- Kes akidah, [muallaf, cubaan untuk murtad]
 2- Kes teraniaya [dera, rogol]
 3- Kes mengandung luar nikah [rogol, sumbang mahram, zina]


BAGAIMANA MAHU MENYUMBANG?

akaun maybank ; ABIM SELANGOR


[No. akaun; 562106228176]



sila emailkan; 
- nama, 
- jumlah, 
- masa bank in, 
- alamat, 
- no telefon
- tujuan: Tabung Dana Pembangunan DARWA.

ke: azmiza_nam@yahoo.com
untuk dapatkan resit pengecualian cukai.

Jazakumullahukhairan kathira

ALLAH Taala lah sebaik-baik Pemberi Ganjaran~





Nor Azmiza Mamat
Pengurus 
Rumah Perlindungan dan Pemulihan Wanita
Darul Wardah [DARWA]

azmiza_nam@yahoo.com

[sila war-warkan]

*DARWA berdaftar dengan unit Arriqab, Majlis Agama Islam Selangor.
*juga merupakan agensi di bawah ABIM Selangor.

Monday, August 6, 2012

Baju Raya Mereka~

Selawat dan salam buat junjungan mulia, nabi ALLAH, kekasih ALLAH, rasulullah sallallahu alaihi wasallam.



Alhamdulillah, dalam kesempitan waktu membuat persediaan untuk 2 majlis iftar yang bakal berlangsung pada selasa dan rabu ini selain rutin-rutin yang lain, kami; staf DARWA dan dibantu sukarelawan masih lagi sempat membawa 4 orang anak muallaf ke GM Klang untuk membeli baju raya mereka.


Ain, Aini, Kamelia serta Luqman, yang kini belajar di Institut Taufiq Islami [asrama untuk anak yatim dan muallaf miskin], merupakan anak-anak muallaf yang berada di bawah perhatian DARWA. Ain dan Aini;  adik-beradik dan ibu mereka; kak Siti Khadijah adalah salah seorang alumni DARWA yang baru memulakan pekerjaan dan masih tidak punyai rumah; hanya menetap di asrama pekerja yang disediakan oleh majikan. Jadi itu menyukarkan untuk anak beranak ini tinggal bersama walaupun Ain dan Aini bercuti sekolah. Selalunya DARWA lah yang menjadi tempat mereka menghabiskan cuti. 

Kisah keluarga ini agak panjang dan berbelit. Pernah satu hari, selepas hampir sebulan meninggalkan DARWA dan menetap di sebuah rumah NGO muallaf di pinggir kota Kuala Lumpur kerana mahu mencari kerja, kami melawat kak Siti Khadijah yang tinggal bersama anak kecilnya; Asyikin yang baru berusia 6 bulan. Dalam segan, kak Siti Khadijah memberitahu yang dia langsung tidak punyai wang sedangkan bekalan makanan hampir habis. Menangis dia sewaktu memaklumkan nasib diri. Sempat kami melihat di atas meja makan, cuma ada 2 keping ikan kering, dan sedikit nasi. Selepas berbincang, kami membawa anak kecilnya pulang ke DARWA untuk dijaga sementara agar ibunya dapat keluar mencari kerja. Maka, bermulalah episod kehidupan Asyikin di DARWA; terpisah dari ibunya dan adik-beradik yang lain. Alhamdulillah, Asyikin disayangi oleh semua warga DARWA dan hampir 5 bulan dia bersama kami.

Kamelia punya kisah yang agak menyedihkan. Bapanya, seorang muallaf telah menyerahkan dia kepada neneknya yang masih dalam agama asal. Ibunya entah ke mana. Kerana sedar yang cucu dan nenek berlainan agama, maka neneknya telah menghantar Kamelia ke Institut Taufiq Islami untuk dijaga dan dididik. Keadaannya juga sama seperti Ain dan Aini, tiada tempat untuk dituju jika musim cuti persekolahan tiba. Maka DARWA lah yang menjadi tempat persinggahan mereka.

Kisah Luqman sangat menyayat hati. Punya ibu, tetapi mengalami sedikit masalah mental kesan dari penderaan yang dialami selepas keluarga mendapat tahu tentang pengislamannya. Ibunya sekarang masih menetap di rumah yang disediakan oleh Majlis Agama Daerah. Pada batang tubuh Luqman, terdapat kesan-kesan penderaan yang teruk yang jelas lagi ketara walaupun peristiwa itu berlaku semasa dia kecil. Panjang lagi sebenarnya kisah Luqman dan ibunya, namun kami tidak dapat ceritakan di sini. 

Teringat perbualan dengan Luqman petang tadi, "Ustazah, boleh belikan saya selipar? Saya pinjam selipar kawan ni..", saya tersenyum padanya. Sudah beberapa pasang selipar saya belikan untuknya, setiap kali melawat dia di asrama, pasti selipar lah yang diminta kerana katanya; selipar hilang diambil kawan.

Pernah, satu ketika dahulu saya hampir menangis apabila dia meminta saya belikan sebatang pensil untuk menulis. Katanya, "saya tak de pensil, kalau nak menulis, saya pinjam yang ustaz punya, atau kawan saya punya.." ALLAHU ALLAH.. berkali-kali saya bertanya Tuhan, "ujian apakah ini ya ALLAH? ujian apakah ini untuk anak sekecil dia?

Alhamdulillah, selepas saya menaikkan status di FB peribadi, meminta sumbangan duit poket dan alatan persekolahan untuk Luqman, beberapa orang hamba ALLAH berhati mulia telah menyahut seruan dan memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun. Sehingga sekarang, masih lagi ada antara mereka yang menyumbang secara tetap hampir setiap bulan. Alhamdulillah..alhamdulillah, ALLAH Taala menghantar hamba-hambaNYA untuk membantu.

Petang tadi, setiap seorang mendapat sepasang baju raya, tudung, dan selipar. Luqman meminta sehelai jubah, begitu juga dengan 3 yang lain. Alhamdulillah, atas hubungan baik dengan ustaz yang menjaga mereka di asrama, telah memungkinkan kami untuk membawa mereka keluar dari sana walaupun sekejap. Melihat senyum riang di wajah mereka, selepas masing-masing mendapat baju raya; itu sudah cukup buat kami sebagai pengubat penat dan letih. Bagi kami. tenaga yang ALLAH Taala pinjamkan ini, kami pulangkan semula kepada DIA. Inshallah..

Akhiran, jazakumullahukhairan kathira.. buat penyumbang-penyumbang berhati mulia. ALLAH taala sahaja yang dapat membalas jasa baik kalian. Semoga diberi ganjaran yang sebaik-baiknya di dunia dan di akhirat kelak. Ameen.

mijaazmiza: Asyikin, mamamija rindu awak.. sangat-sangat!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...