Alhamdulillah, pada
kali ini warga Darul Wardah dikunjungi oleh salah seorang alumni Darul Wardah
yang sudi berkongsi pengalaman sepanjang beliau tinggal di Darul Wardah suatu
ketika dahulu. Kini, beliau telah berjaya dalam pelajaran dan berusaha untuk
menjadi muslimah yang lebih baik dari hari ke hari.
Setelah 4 tahun
meninggalkan Darul Wardah, beliau muncul semula untuk berdakwah bersama kami. Saat
beliau menjejakkan kami semula ke Darul Wardah, air mata beliau tidak
henti-henti mengalir, terimbau kenangan lalu yang amat perit dan sukar untuk
dilupakan. Beliau juga seperti kebanyakan pelatih yang lain, masuk ke Darul
Wardah kerana telah mengandung setelah melakukan hubungan terlarang dengan
kekasih sendiri.
Namun, Alhamdulillah
beliau tidak mengambil jalan yang salah daripada menggugurkan anak itu
sebaliknya di Darul Wardah, beliau berusaha sebaik mungkin untuk berubah dan
menjadi muslimah yang lebih baik.
Dalam kesedihan,
beliau tetap meneruskan perkongsian kepada para pelatih yang ada.
Antara perkongsian
daripada beliau,
“Saya masih ingat
saat saya dihantar oleh mak ayah ke DARWA, saya ditinggalkan begitu sahaja. Mak
ayah saya langsung tak pernah melawat saya di sini kerana sangat marah dengan
apa yang telah saya lakukan. Segala kelengkapan untuk menyambut kelahiran anak
saya, saya guna baki duit PTPTN yang masih berbaki. Saya terpaksa menangguh
pengajian kerana telah mengandung dan tidak mahu kawan-kawan yang lain tahu”.
“Sepanjang saya di
Darul Wardah, saya cuba memperbaiki diri. Saya hanya bersendiri ketika itu
tanpa sokongan ahli keluarga. Tapi saya tahu semua tu salah saya. Saya cuba
berubah jadi anak yang baik kepada mak ayah sebab saya dah banyak sakitkan hati
mereka”.
Ketika ujian terus menimpa
Di saat seolah-olah tidak ada yang membantu
Di waktu seolah-olah tidak ada yang menolong
Itu mungkin teguran dari Allah
Agar kita sedar bahawa hanya Allah tempat
bergantung
Supaya kita ingat
Hanya Allah tempat memohon pertolongan
“Bukan saya nak riak,
tapi Alhamdulillah sejak saya masuk DARWA, saya tak pernah tinggal Qiamullail
sampaikan saat di malam saya sakit nak bersalin pun saya kuatkan diri untuk
bangun qiam. Saya kata, ‘aku tak qiam lagi malam ni’. Alhamdulillah, Allah
hilangkan langsung sakit waktu tengah solat tu.”.
“MUSIBAH yang membuatkan kita makin dekat pada
Allah lebih baik daripada KENIKMATAN yang membuatkan kita lupa mengingati Allah”.
“Hari-hari saya
berdoa kepada Allah, ‘Ya Allah, berikan aku kesakitan yang sama macam mana mak
aku rasa masa melahirkan aku’. Dan semasa saya nak bersalin saya rasa lebih
daripada itu. Jantung anak saya berhenti tiba-tiba dan saya terpaksa dibedah.
Tapi kuasa Allah, ubat bius langsung tidak berfungsi. Saya merasai bagaimana
sakit dan peritnya ditoreh perut hidup-hidup walaupun untuk beberapa ketika.”
Saat itu hanya satu
doa saya,
‘Ya
Allah, jangan matikan aku sebagai seorang PENZINA’.
Malah setelah
bersalin, saya masih lagi merasai kesakitan akibat daripada luka pembedahan.
Luka pembedahan mengalami jangkitan kuman sehingga bernanah dan terpaksa
mendapat rawatan. Sepanjang tempoh berpantang, saya hanya makan nasi putih dan
ikan bilis bakar kerana takut luka saya semakin parah”.
“Saya hanya sempat
menjaga anak saya dalam tempoh 30 hari sahaja dan kemudian mak ayah saya
meminta anak saya diserahkan kepada keluarga angkat. Saya terpaksa menuruti
kemahuan mak ayah walaupun saya ingin sekali menjaga anak saya. Tetapi demi
menjaga hati mak ayah, saya serahkan juga anak saya kepada keluarga angkat. Dan
hingga kini, saya tidak berpeluang untuk berjumpa dengan anak saya semula”.
Cerita beliau lagi, “Sepanjang
saya tinggal di Darul Wardah, ada berlaku tempoh di mana saya seorang sahaja
yang menjadi penghuni di Darul Wardah. Beberapa rakan yang lain keluar masuk
dan ada yang lari dari Darul Wardah silih berganti. Ada yang lari melalui pagar
belakang DARWA sehingga sanggup meredah ladang nenas yang penuh duri sehingga
saya sendiri pelik, tak sakit ke dalam keadaan mengandung?.”
Kemudian, salah
seorang penghuni bertanya kepada beliau, kenapa beliau tidak lari seperti
kawan-kawan yang lain walaupun mempunyai peluang?
Jawab beliau, “Saya
masih tidak bersedia untuk keluar kerana saya amat takut untuk menjalani
kehidupan di luar lagi, hinggakan saya sendiri meminta tempoh kepada ustazah
supaya dipanjangkan masa keberadaan saya di DARWA. Untuk membantu saya walaupun
saya telah tamat dari menjalani pemulihan di DARWA, Ustazah Hazlina memberi
pekerjaan kepada saya untuk menjadi pembantu di tadika milik ustazah sebelum saya
menyambung semula pengajian saya”.
Hingga kini, ibu bapa
beliau masih tidak dapat menerima dirinya dan dianggap seperti orang asing di
rumah sendiri. Itulah harga yang terpaksa dibayar terhadap apa yang telah dilakukan.
Beliau telah berusaha sebaik mungkin untuk memulihkan hubungan beliau dengan
ibu bapa dan juga cuba menjadi hamba Allah yang lebih taat.
Hati kita
milik ALLAH
Bila rasa
sedih, berbaliklah pada ALLAH
Bila rasa
keliru, berbaliklah pada ALLAH
Bila rasa
gembira, berbaliklah pada ALLAH.
InsyaAllah,
bila kita bersyukur dengan apa yang kita ada
Kita tidak
akan risau dengan apa yang bukan milik kita.
Moga Allah
Redha J
No comments:
Post a Comment