Friday, October 9, 2015

MODUL PENGISIAN DARUL WARDAH



Petang tadi ke bahagian Al Riqab, Mais untuk mengambil stok buku Indahnya Hidup Bersyariat dan Mantap Mengaji Kaedah Al Matien untuk kegunaan pelatih di Darul Wardah. Buku-buku ini diberikan percuma kepada semua pelatih di rumah perlindungan kelolaan badan Al Riqab Majlis Agama Islam Selangor. 

Selain daripada buku Indahnya Hidup Bersyariat dan Mantap Mengaji Kaedah Al Matien, kami juga menggunakan beberapa buku lain untuk dijadikan modul pembelajaran dan pengisian di Darul Wardah. 


Buku Ajarku Solat Panduan Solat Perempuan antara buku yang dijadikan modul utama untuk pelatih kami. Semua pelatih di Darul Wardah akan diberikan buku Panduan Solat ini untuk mereka menyemak semula bacaan dalam solat dan bacaan mereka akan di tasmid oleh Ustazah Hidayah pada setiap hari Rabu dan Khamis.



Setiap pelatih Darul Wardah akan diberikan kad rekod semakan bacaan atau kad biru Tasmid. Bacaan solat, doa pilihan dan surah pilihan hafazan perlu disemak dan mesti mendapat kelulusan daripada guru tasmid sebelum mereka keluar daripada Darul Wardah. Bukan sekadar semakan bacaan sahaja, praktikal dan amali juga akan dilakukan bagi memastikan pelatih betul-betul faham dan dapat melakukan ibadah dengan lebih sempurna. Malah pada setiap bulan guru-guru Darul Wardah akan mengadakan ujian bulanan untuk melihat perkembangan pelatih dari segi akademik.



Karya Dr. Rokiah Ahmad ini juga kami jadikan modul pengisian di Darul Wardah. Buku ini mengupas mengenai betapa pentingnya seorang wanita menjaga aurat daripada pandangan bukan mahramnya, menyentuh bab hukum dan dalil selain daripada sebab wajib menutup aurat, jaminan Allah terhadap mereka yang menjaga auratnya dan janji Allah bagi mereka yang ingkar dan mendedahkan aurat kepada yang bukan berhak. Ulasan dan pengisian disampaikan sendiri oleh Ustazah Hazlina. 




Terapi Diri 30 Hari Mencari Cinta, hasil karya Ustazah Hazlina ini adalah modul khas untuk bulan Ramadan. Ia juga adalah buku senarai semak amalan pada setiap hari di bulan Ramadan untuk setiap pelatih, disertakan dengan doa amalan harian yang dipetik daripada kalam Allah al-Quran dan pelbagai tips untuk menjalani ibadah puasa dalam erti kata yang sebenar. Setiap pelatih akan menulis ibadah yang dilakukan pada setiap hari di buku ini dan akan disemak oleh Ustazah Hazlina. Di penghujung Ramadan pelatih akan melihat sendiri amalan dan usaha mereka dalam beribadat di sepanjang bulan. 



Bukan sekadar buku-buku dan kitab ilmiah sahaja yang akan diberikan kepada setiap pelatih, buku dan nota jahitan pun mereka akan dapat di Darul Wardah. Kelas jahitan, kraftangan malah kelas memasak yang diadakan adalah bertujuan untuk menyeimbangi keperluan untuk melahirkan muslimah yang sejati.  




Semoga anak-anak didik kami dapat mempraktikan ilmu dan amalan selama tinggal di Darul Wardah untuk dijadikan panduan apabila kembali kepada realiti kehidupan sebenar di luar sana nanti. Kami hanya mampu berusaha untuk memberikan yang terbaik buat mereka dan sebaik-baik pelindung itu adalah Allah yang Maha Esa. Amin Ya Rabb










No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...