Thursday, August 2, 2012

DIARI RAMADHAN KAMI~

Assalamualaikum, Ramadhan Kareem.. ^^

Alhamdulillah, berkesempatan meng'update blog pada malam ini.

Alhamdulillah..alhamdulillah, KITA SEMUA dipanjangkan usia, dan diberi nikmat kesihatan yang baik untuk berada di bulan yang penuh keberkatan; Ramadhan pada tahun ini.

Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah..syukur, adik-adik penghuni di sini, turut ternanti-nanti kedatangan bulan mulia ini walau pada awalnya, ada yang gelisah, bimbang seandainya tidak mampu berpuasa dalam keadaan yang sarat.

Jika tahun-tahun sebelum ini, ada yang langsung tidak berpuasa, ada yang culas-culas buat [tapi tidak semua mereka], maka pada kali ini mereka kembali menunaikan kewajipan yang termasuk dalam rukun Islam berlima itu. Malah, di sini juga mereka berpeluang untuk semakin memahami keperluan pematuhan ke atas suruhan ALLAH Taala, dan semakin merasai kenikmatannya untuk jasad, emosi dan juga roh.

TADARUS AL QURAN





"alhamdulillah, seronok rasa puasa tahun ni.." kata adik A.

"walau penat, kak..tapi alhamdulillah saya dapat bertadarus pada Ramadhan ni, sebelum-sebelum ni, saya tak pernah bertadarus. Tadarus pun saya tak tahu apa dia..", kata adik B sambil tersenyum.



Jadi pada tahun ini, inshallah kami berazam untuk 1 kali khatam al quran.  Pada tahun-tahun sebelum ini, kami mampu khatam al quran sebanyak 2 kali, kerana adik-adik pada waktu itu, ramai yang boleh mengaji dengan lancar. Namun, memandangkan pada Ramadhan ini, ramai adik-adik yang masih di tahap 'merangkak-rangkak' dan iqra', maka cukuplah andai kami berjaya khatam untuk sekali sahaja. Itu sudah cukup memuaskan hati kami [kakak mereka], kerana mereka mahu dan mula belajar, serta mula rasa nikmat bertadarus itu di sini. Alhamdulillah..

Rutin harian kami, sebaik habis solat subuh berjamaah dan al mathurat, kami akan mula bertadarus menghabiskan beberapa helai muka surat, kemudian menyambungnya semula selepas solat sunat dhuha, dan zohor dan asar. Di kesempatan waktu yang ada, mereka juga akan menyambung bacaan al quran 'personal' mereka. Yang masih di tahap iqra', kami pesan; mulakan bacaan muqaddam. Alhamdulillah, tidak perlu kami peringatkan selalu kerana kesedaran mereka lah yang menggerakkan kemahuan mereka.


TAZKIRAH RAMADHAN




Untuk bulan Ramadhan ini, jadual tazkirah kami telah ditukar waktu ke waktu pagi jam 11.30 setiap hari. Ini berbeza dari bulan-bulan lain kerana tazkirah kami adalah pada waktu malam antara maghrib-isyak.

Alhamdulillah, ramai teman-teman yang datang ke mari untuk mengisi jadual Tazkirah Ramadhan dan Imam Terawih. Atas semangat FASTABIQUL KHAIRAT [berlumba-lumba dalam membuat kebaikan], kedatangan untuk berkongsi ilmu dengan adik-adik yang mahu mencapai darjat SOLEHAH ini amat kami hargai. Jazakumullahu khairan kathira.. ALLAH Taala lah sebaik-baik Pemberi Ganjaran.

Dalam hari-hari tanpa 'Pentazkirah' Jemputan, adik-adik akan bergilir-gilir menyampaikan tazkirah mereka, berdasarkan tajuk-tajuk yang telah disusun. Ini sebagai satu medan latihan buat mereka selepas keluar nanti, agar tidak segan dan tidak malu untuk berkongsi ilmu dan kebaikan dengan orang-orang sekeliling. Inshallah..


BERTERAWIH

Kadang-kadang hadir juga rasa rindu di hati ini untuk berterawih di masjid. Namun, untuk kami di sini; Darul Wardah lah 'masjid' kami. Selain imam/ah jemputan, terawih adik-adik juga berimamkan kakak-kakak mereka. Jika kakak-kakak keletihan kerana urusan yang padat pada sebelah siangnya, maka giliran imam diberikan kepada adik-adik yang jelas, dan lancar bacaannya. Di sini lah, medan untuk mereka melatih diri untuk menjadi seorang imamah. Pesan kami, "inshallah, rebutlah peluang untuk menjadi imam, mudahan selepas kita semua punya keluarga, dan punya anak-anak nanti, kita mampu menjadi imam buat anak-anak kita seandainya bapanya tiada di rumah."
Benar, madrasah ibu adalah madrasah pertama buat anak-anak. Maka, harusnya kita mempersiapkan diri untuk menjadi ibu yang terbaik buat mereka dengan harapan, anak-anak membesar menjadi anak yang soleh dan solehah. Inshallah.



QIYAMULLAIL

Kadang-kala, riak letih jelas ketara pada wajah mereka. Jika begitu, selalunya kami akan memujuk dan menaikkan semangat mereka.
"adik-adik, awak semua tahu tak, sebenarnya, ramai orang kat luar sana yang cemburu dengan kita di sini. Kat sini, kita akan qiam tiap-tiap pagi sepanjang Ramadhan ni. Mereka di luar sana, ada yang tak mampu untuk buat apa yang kita buat.."

"adik-adik, ambil lah peluang yang ada ni, rebutlah masa ni untuk buat amal sebanyak mungkin, kerana kita tak tahu lagi, lepas kita keluar nanti, kita punya peluang yang sebegini.."

"inshallah, banyakkan doa kepada ALLAH Taala, kerana doa pada bulan Ramadhan ini tiada hijab. Maka ia akan sampai terus kepada DIA. Minta la apa pun..minta la.. ALLAH Taala tu Maha Pendengar".

Maka, mendengar esakan tangis mereka setiap kali bertahajud dan ketika doa, adalah perkara biasa. Pada diri masing-masing, ada cerita dan kisah tersendiri. Yang lara, dan sedih itu, dan harapan-harapan itu, diadukan kepada ALLAH Taala. Hati manusia, sekeras-keras mana pun ia, jika kembali kepada ALLAH, inshallah.. biiznillah, lembut lah nanti.

Selalu juga, kami berqiyamullail di porch dengan beratapkan langit, dan berlantaikan simen. Kadang kala, diganggu oleh nyamuk-nyamuk nakal, tapi itu tidak menjadi halangan buat mereka. Malah, adik-adik ini berasa cukup seronok kerana dapat menghirup udara segar di pagi hari, melihat indahnya bulan dan alam sekeliling yang mampu membangkitkan lagi rasa berTuhan itu.

DOA

Ini lah sedikit coretan buat kali ini. Rindu mahu menulis, maka digagahkan juga diri untuk berkongsi. Jam sudah 1.29 pagi ketika ini, inilah ruang masa yang ada kerana waktu siangnya sungguh tidak sempat kerana banyak urusan yang harus diselesaikan.

Teman-teman, doakan kami di sini ya. Doakan agar kami diberi kekuatan dan kebijaksanaan untuk menempuh ujian dari DIA. Moga-moga kami istiqamah dengan amalan kebaikan ini. Doakan juga, kami [kakak-kakak mereka] diberi kekuatan untuk membimbing insan-insan yang mahu kembali mencari Tuhan. Inshallah, kita saling doa mendoakan.

mijaazmiza; moga, ALLAH Taala bangunkan diri ini, dan kita semua untuk bertahajud pagi nanti. ameen.

Wednesday, August 1, 2012

Dunia semakin pelik!~



 Dunia semakin pelik~!


Adik ini dihalau suami kerana mengandung, dan enggan menggugurkan kandungan seperti yang diminta. 
 "suami saya halau saya, katanya..dia tak boleh tengok muka saya lagi".


Di akhir perbualan, pesan saya kepadanya;
"dik, doa banyak-banyak ya, bulan ramadhan ni, pintu neraka semua ditutup dan pintu syurga semua dibuka. Inshallah, ALLAH Taala makbulkan doa hamba-hambaNYA yang berdoa."  


Telinga saya menangkap esakan halus dihujung sana. Saya terdiam. Berikan sedikit masa buatnya.

Sambung saya,


"bangun sahur pagi-pagi..ambik peluang buat solat sunat tahajjud, buat solat sunat hajat, minta aje apa-apa dengan ALLAH taala, minta ALLAH taala lembutkan hati ibu ayah. Jangan lupa, solat sunat taubat, takut-takut ada dosa-dosa kita yang menghalang doa dari didengar ALLAH.."~ 


"Inshallah, boleh?"


Balasnya.."iya..iya.." 2 patah kata itu kedengaran begitu payah untuk keluar..dia menahan tangis.

mijaazmiza: INSHALLAH..INSHALLAH~ teman-teman, doakan adik ini ya.. doakan agar ALLAH Taala berikan dia kekuatan untuk mengharung ujian ini. Doakan agar, pengakhiran yang baik-baik untuk dia.. 


Monday, July 16, 2012

Mujahidah solehah @ DARWA

14 Julai 2012- Darul Wardah menerima kunjungan dari lebih 30 orang mahasiswi solehah IIUM. Kedatangan mujahidah-mujahidah yang mewakili Mahallah Safiyyah dan WAFA Club seawal jam 8.30 pagi, disambut gembira oleh seluruh warga DARWA.

Selepas sesi sembang santai bersama Pengurus DARWA; Cik Azmiza, para mujahidah IIUM dan DARWA bersama-sama bergotong royong membersihkan halaman DARWA dan bercucuk tanam.

Program di DARWA ini merupakan program turun masyarakat yang dibuat setiap tahun oleh Mahallah Safiyyah. Pihak DARWA sangat berbesar hati atas sumbangan dan komitmen pihak M.Safiyyah.
Semoga kerjasama sebegini dapat diteruskan untuk tahun-tahun akan datang. Inshallah.




mijaazmiza: semasa sesi sembang santai~
az: apa reaksi adik-adik andai kata, suatu hari teman baik adik datang berjumpa dan memaklumkan yang dia telah pun mengandung akibat terlanjur? fikir-fikirkan...

di akhir sesi, nasihat saya kepada mereka~ jangan sesekali pulaukan 'dia'. Nasihati, dan bimbing lah.. untuk kembali ke jalan Tuhan. 





Homemade choc Class @ DARWA


Alhamdulillah~ telah diadakan kelas asas membuat coklat, pada 30 Jun-1 Julai 2012. Seramai 17 orang peserta yang terdiri dari penghuni DARWA dan sukarelawan telah mengikuti kelas yang dijalankan hasil kerjasama antara pihak DARWA dan Giat MARA Lembah Pantai.

Pihak DARWA merakamkan setinggi-tinggi penghargaan buat Cik Wan Azlina yang mewakili Giat MARA dan cikgu-cikgu yang terlibat. Moga ilmu yang dipelajari dapat digunakan oleh para penghuni apabila mereka kembali ke pangkuan keluarga nanti.











mijaazmiza: alhamdulillah, sekurang-kurangnya dengan beraktiviti begini, mereka [dan saya juga] dapat menghilangkan bebanan di jiwa selain, boleh dijadikan bisnes untuk menambah duit poket mereka.
~Cabaran hidup di luar tidak senang..kan??

Wednesday, June 6, 2012

Kunjungan anak-anak muda dari UNGGAS



Alhamdulillah, semalam DARWA menerima kunjungan anak-anak muda bersemangat waja dari UNGGAS [Pertubuhan Menangani Gejala Sosial] Malaysia; diketuai oleh Pengarahnya; Saudara Nurfitri Amir. DARWA pula diwakili oleh Ustazah Hazlina Abdul Razak.

Perbincangan pada awalnya adalah berkaitan satu kes yang dirujuk oleh UNGGAS kepada DARWA. Kemudian meleret kepada jalinan kerjasama yang boleh diadakan antara DARWA, ABIM Selangor, dan UNGGAS.

Tahniah untuk UNGGAS atas usaha menangani masalah-masalah sosial yang semakin parah, dari sekecil isu melepak sehingga ke sebesar isu PELACURAN dan MINUM ARAK di kalangan remaja Muslim.

Inshallah, semoga usaha-usaha ini diberkati dan dikira sebagai saham untuk ke negeri abadi.


mijazmiza; Jalinan kerjasama antara UNGGAS Malaysia Nurfitri Amir Muhammad dan Darul Wardah (DARWA). Moga membawa manfaat untuk ummah. Inshallah~ Seronok dapat bertemu junior yang sama2 bergerak kerja sewaktu zaman kampus dahulu.

http://www.facebook.com/pages/Urusetia-Menangani-Gejala-Sosial-UNGGAS/153846175255

http://sinarloronggelap.blogspot.com/

Thursday, April 26, 2012

SAYANGI DIRI:BMG & ATT @ SMK SEKSYEN 7

Assalamualaikum..

Alhamdulillah, syukur kepada ALLAH, Tuhan Sekalian Alam kerana memberikan kami satu lagi peluang untuk berkongsi ilmu dengan pelajar-pelajar di SMK Seksyen 7, Shah Alam. Program Bahagia Menjadi Gadis [BMG] & Aku Teruna Terhebat [ATT] yang dilangsungkan pada 23 April yang lepas telah dikendalikan oleh Ustazah Hazlina dan Cik Azmiza selaku Pengetua dan Pengurus di Darul Wardah. Semoga ilmu yang disampaikan menyusup masuk dan berbekas di hati dan diri para pendengarnya. Insyallah biiznillah.

Semoga pelajar soleh dan solehah ini menjadi tunas-tunas yang akan berkembang mekar menyebar keindahan Islam di muka bumiNYA ini. 

Mahu jalankan program sebegini di sekolah atau tempat anda?
~ boleh hubungi kak Ayad-  019 3636394.

*BMG & ATT merupakan satu program pencegahan zina dan masalah sosial di kalangan remaja. 










mijaazmiza; selepas program saya disapa oleh seorang adik, "kak..akak ni, akak yang program kat Masjid Negeri tu ya?". "BMG ke?", tanya saya kembali. Dia mengiyakan dan tersenyum lebar lantas menghulurkan tangan untuk bersalam. 
~BMG @ Masjid Negeri S.Alam.. BEST! kata adik-adik solehah saya. 
Malah, sudah ada yang bertanya.. "Bila nak buat reunion BMG kak?"  ^ ^

Wednesday, April 25, 2012

Liqa' An Nur~ Nantikan kehadirannya..


Kami dalam proses menyiapkan Modul Tafsir Surah An Nur~ insyallah.. Doakan urusan ini dipermudahkan oleh ALLAH taala.

Kenapa Surah ANNUR yang menjadi pilihan? Kerana....


Said ibn Mansur, Ibnu Al Mundzir, dan Al Baihaqi meriwayatkan dari Mujahid berkata: Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

عَÙ„ِّÙ…ُÙˆْا رِجَالَÙƒُÙ…ْ سُÙˆْرَØ©َ الْÙ…َائِدَØ©ِ ÙˆَعَÙ„ِّÙ…ُÙˆْا Ù†ِسَاءَÙƒُÙ…ْ سُÙˆْرَØ©َ النُّÙˆْرِ
Ajarlah kaum kamu yang lelaki akan surah Al Maidah, dan ajarlah kaum kamu yang perempuan dengan surah An Nur..

Dalam riwayat daripada harith bin Mudhorrob (r.a) katanya:

“Umar Al Khattab (r.a) telah menulis surat memerintahkan supaya mempelajari surah An Nisa’, ‘ Al Ahzab dan An Nur ”

Yakni pada masa itu Umar Al khattab  sebagai khalifah telah  menulis sepucuk surat  dari ibu kota Madinah ke tanah jajahan Kufah, supaya pesuruhjaya  jajahan itu menjadikan perintah itu sebagai undang-undang jajahan.



 Hendaklah tiap-tiap wanita kaum wanita mempelajari surah An Nur, mengingatkan bahawa  di dalam Surah An Nur  itu ada diterangkan hukum-hukum bagaimana seseorang itu memelihara kesucian maruah atau kehormatannya dan bagaimana pula menutupinya  supaya tetap terpelihara dengan baik.

Mijaazmiza; ~Agenda memperkasa institusi keluarga dan wanita muslim~:
LIQA' ANNUR~ insyallah, dibuka umum untuk sisters solehah. Kupasan mengenai Surah Annur oleh Ustazah Hazlina Abdul Razak. Nantikan~ 

Saturday, April 21, 2012

ATT & BMG @ KUALA SELANGOR

Pada 17 April 2012 telah berlangsungnya program AKU TERUNA TERHEBAT [ATT] & BAHAGIA MENJADI GADIS [BMG] bertempat di Sekolah Menengah Teknik Kuala Selangor. ATT dan BMG merupakan program khas di bawah DARWA yang berobjektifkan kepada pencegahan zina di kalangan remaja. Tim DARWA yang ke sana adalah Ustazah Hazlina, Cik Azmiza, dan Cik Asmat.

Jika ada yang berminat untuk menjalankan program sebegini di sekolah atau di tempat mereka, boleh berhubung dengan kak Ayad-  019 3636394.









mijaazmiza; "ustazah, terima kasih ajar teknik 'RASA BERTUHAN'. Berdiri bulu roma saya waktu sujud tadi, tak pernah rasa macam ni", kata seorang pelajar kepada kami.
~adik-adik, sungguh tidak cukup sekadar TAHU bahawa Tuhan itu ADA. Kerna ADA-NYA DIA itu perlu di-RASA; di setiap masa, setiap ketika, dalam degup jantung, dalam hela nafas.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...