Friday, September 11, 2015

KISAH SEBUAH BUKU MERAH





“Assalamualaikum kak, busy ke?”

“Waalaikummusalam. Ya cik puan Fatimah (bukan nama sebenar). Takde busy mana. Macam mana sekarang? Sihat?”

“Alhamdulillah kak, sihat. Sekarang saya dah pindah ke Melaka. Ikut suami.”

“Ok. So macam mana pengantin..ada berita gembira nak bagi tahu ke?”

“Haah kak, kita dah nak masuk 5 minggu dah ni.”

“Alhamdulillah..tahniah”

“Tapi kita ada masalah sikit la kak. Kita nak buka buku merah esok kat klinik. Kita nak bagi tahu macam mana ya. Nak cakap mengandung anak first ke second kak sebab kena bagi tarikh nikah sekali. Kalau bagi tahu anak first, kesan stretchmark kita ni nampak sangat kat perut, mesti dia orang tahu kita mengandung anak kedua. Kalau cakap anak kedua, tarikh nikah kita baru lagi dan mesti nurse minta buku merah yang lama. Kita risau la kak.”


Itu adalah perbualan sebenar melalui telefon dengan salah seorang alumni Darul Wardah beberapa hari yang lepas. Syukur, dia telah menemui seorang lelaki budiman yang menerima dia seadaanya dan sanggup menerima amanah dan menyelamatkan maruah seorang gadis yang ternoda akibat nafsu rakus lelaki durjana.

Gadis ini telah berkahwin pertengahan tahun 2015 yang lalu dan telah memulakan kehidupan yang baru bersama suami tercinta. Dengan rahmat Allah SWT, pasangan ini bakal menimbang cahaya mata cinta mereka beberapa bulan akan datang.  

Walaupun telah mempunyai satu kehidupan baru dengan suasana dan tempat yang baru, namun kisah silam tetap membayangi dan mengekori dirinya. Malah ia seolahnya akan menghantui dan membelenggu diri untuk mungkin sepanjang perjalanan hidup di dunia. Bagaimana kehidupannya selepas ini dan bagaimana kehidupan seorang kanak-kanak perempuan yang comel yang dilahirkan sebelum ini. Bagaimana pula salur galur keturunan anak yang tidak berdosa itu.  

Zina bukan sahaja membawa malapetaka kepada masyarakat malah ia juga akan meninggalkan berjuta sisipan duka dalam kehidupan. Maha Besar Allah telah berfirman  dalam surah Al-Isra’ ayat 32 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan keji yang membawa kepada kerosakan.”

Kami melihat sendiri kerosakan yang di bawa oleh ZINA di Darul Wardah. Terlalu ramai anak gadis remaja kita yang terpedaya dengan ZINA. Malah bukan hanya sekali berzina hingga mengandung dan masuk ke rumah kami, tetapi kebanyakkan kes adalah yang berulang-ulang kali sehingga melahirkan lebih daripada seorang anak hasil hubungan ZINA. Rosak hubungan dengan ibu bapa hingga mungkin menjadi anak derhaka. Rosak hubungan dengan adik-beradik hingga hilang kepercayaan sampai bila-bila. Rosak hubungan dengan masyarakat hingga dipandang hina dan tidak bermaruah, di cemuh dicaci orang sekeliling. Apa yang paling dibimbangi, rosak akidah hingga keras hati tidak jumpa jalan untuk kembali.

Kisah Buku Merah ini benar-benar memberi kesan mendalam kepada saya. Walaupun sudah bertaubat dan berusaha untuk memperbaiki diri, bayang-bayang hitam silam tetap menghantui. Jatuh simpati saya untuk mereka kerana ada di kalangan anak-anak ini benar-benar insaf dan bertaubat sepenuh hati. Kami di sini hanya mampu menitip doa moga mereka tetap istiqomah dan tabah dalam mengharungi hidup hingga ke akhirnya. Moga Allah Maha Pengasih Maha Pengampun mengurniakan rahmat dan hidayahnya kepada kita semua kerana sesungguhnya Maha Pengasih Allah juga berfirman dalam surah As-Zumar ayat 53 yang bermaksud: “Katakanlah wahai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Dan semoga taubat anak-anak di Darul Wardah ini diterima Allah dan semoga taubat mereka adalah sebenar-benarnya taubat nasuha kerana janji Allah yang Maha Menerima Taubat ada berfirman, “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan “Taubat Nasuha”, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai.” (At-Tahrim: 8)

Mohon doakan kami disini. Amin ya Rabb.



No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...