Wednesday, February 29, 2012

Mahasiswi Mahallah Khadijah @ DARWA

Seramai 23 orang mahasiswi dari Centre For Foundation Studies-International Islamic University Malaysia [CFS-IIUM] Petaling Jaya telah datang bertandang ke DARWA. Kehadiran mereka dengan diiringi oleh 2 orang ustazah, adalah bertujuan untuk memahami dan berkongsi pengalaman dengan penghuni-penghuni yang mewakili keadaan masyarakat pada hari ini. 

Mereka disambut oleh Pengurus DARWA dengan sedikit ucapan alu-aluan dan seterusnya sama-sama bergotong-royong membersihkan halaman dan menanam sayur. 

Pengerusi DARWA, Ustazah Hazlina telah memberikan taklimat penuh berkenaan DARWA serta kes-kes yang ditangani. Di akhir program, diadakan majlis penyerahan sumbangan dari mereka; wakaf rehal, buku-buku dan majalah islami.















mijaazmiza; moga-moga, pertemuan ini bukan yang terakhir. Semasa bersalaman, ada yang berjanji untuk datang lagi. Mahu memahami kemelut permasalahan umat yang makin parah, kata mereka..

Friday, February 24, 2012

Bahagia Menjadi Gadis [BMG] & Aku Teruna Terhebat [ATT]



[klik pada gambar untuk paparan lebih jelas]

Dalam arus gejala sosial yang menggila~ buang anak di merata-rata, zina tanpa takut dosa. 
Kami bawakan kepada anda, salah satu program pencegahan. 

Kepada ibu bapa, daftar kan anak-anak dengan segera!



DARWA @ Wanita Hari Ini


Rakaman Wanita Hari Ini~ Hilangnya Kawalan Terhadap Anak @ 8 Febuari 2012
Ustazah Hazlina Abdul Razak; Pengerusi Darul Wardah.


Saturday, February 18, 2012

Zina & Keburukannya







Keburukan akibat perbuatan zina

Pada ayat 32 surah Al Isra’, telah disebutkan keburukan berzina:

Dan janganlah kamu dekati perzinaan, sesungguhnya ia adalah suatu perbuatan yang keji dan jalan yang buruk.

Yakni, Allah menegah manusia jangan membuat zina. Iaitu melakukan perhubungan jenis antara lelaki dengan perempuan tanpa nikah. Mendekati perbuatan zina itu sahaja sudah dilarang. Yang dimaksudkan dengan mendekati ialah persediaan-persedian dan aktiviti yang boleh menjerumuskan ke arah zina, seperti bersunyi-sunyian, berpelukan, pergaulan bebas, menonton gambar-gambar dan filem-filem porno dan lucah dan bermacam-macam hal lain lagi.

Di antara keburukan perzinaan ialah:

1.    Terjadi percampuran benih atau keturunan yang samar-samar. Kerana itu antara maqasid Syariah Had zina ialah untuk menjaga keturunan dan maruah. (Hifzul nasal wal muruah). Maka hal ini bererti membuang-buang keturunan dan mendatangkan kerosakkan terhadap alam kemanusiaan.

2.    Akan membukakan pintu masyarakat menjadi kecoh, kacau bilau dan tidak senonoh. Dan itulah sebabnya sering berlaku pembunuhan dan tragedi yang menyedihkan disebabkan oleh perzinaan.

3.    Cercaan, hinaan masyarakat terhadap penzina.walaupun penzina telah bertaubat terutamanya kepada kaum perempuan. Tidak aman hidupnya, hatinya tidak merasa tenang dan sentisa dipandang serong oleh masyarakat.


Hukuman akhirat akibat perbuatan zina

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud katanya saya bertanya: “Ya Rasulullah! Dosa apakah yang paling besar di sisi Allah? Jawab Baginda: Engkau adakan sekutu bagi Allah, sedangkan dia yang menjadikan engkau. Kata saya: kemudian apa pula? Jawab Baginda: Engkau bunuh anakmu  kerana engkau takut dia nanti ikut makan bersama-samamu. Kata saya: kemudian apa lagi? Jawab baginda: Engkau berzina dengan perempuan jiranmu.

Lalu Allah turunkan firman Nya ayat 68 surah Al Furqan untuk membenarkan sabda Nabi SAW:
u
Hamba-hamba Allah yang baik-baik itu  ialah mereka yang tidak menyembah Tuhan yang lain  bersama Allah, dan tidak membunuh  diri orang yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali  dengan jalan yang hak, dan tidak berzina. Maka barangsiapa melakukan yang demikian itu nescaya akan mendapat hukuman.

Dan adalah diriwayatkan daripada Huzaifah bahawa nabi SAW telah bersabda, maksudnya:

Hai manusia! takutilah olehmu akan zina. Sesungguhnya ia mengandungi 6 macam keburukan. Tiga berlaku di dunia dan yang tiga lagi berlaku di akhirat. Adapun keburukannya yang di dunia itu ialah: perzinaan menghilangkan keelokan, mewarisi kepapaan dan mengurangkan umur. Adapun keburukannya di akhirat ialah mendapat kemurkaan Allah SWT, dijalankan hisab yang buruk dan disiksa dengan api neraka.

Friday, February 17, 2012

Slot Cintailah CINTA



14 Febuari malam~ jika ramai yang memilih untuk menyambutnya bersama kekasih hati; entah di mana, entah diketahui ibubapa atau tidak, tapi kami memilih untuk bersama berada dalam satu majlis ilmu. Cuba memahami apa sebenarnya cinta dan CINTA dan beza antara kedua-duanya.

Jazakumullahukhair~buat ustazah-ustazah solehah dari HEWI PKPIM UPM. Bertandangnya mereka di sini untuk sama-sama mengupas tentang CINTA.

ALLAH taala Pencipta CINTA dan cinta. Harusnya, kejar dan dakap erat CINTA kepadaNYA, insyallah segala cinta-cinta yang kecil lain akan digenggam. Jadi usah takut andai kita belum jumpai cinta kerana CINTA NYA itu sudah cukup buat kita. Cintailah CINTA~

~Kak, boleh tak lepas ni saya dah tak nak percayakan cinta?
+ Dik, bukan salah cinta yang membuncitkan perutmu. Yang salah adalah, bila mana adik meletakkan makna yang salah pada cinta.


"Ya Allah, kurniakan padaku cinta dan kasih kepada-Mu serta cinta dan kasih pada mereka yang menyintaiMu, jadikanlah apa saja yang aku suka sebagai pendorong untuk menyintai-Mu".




MijaAzmiza

Tuesday, February 14, 2012

Warkah buat adik-adikku sayang [say no to VALENTINE'S DAY, say no to ZINA]



Bismillahirahmanirrahim [dengan nama ALLAH yg Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani],

Adik-adik yang disayangi,

Kak Mija mulakan warkah ini dengan lafaz, "assalamu'alaikum". Doa akak agar kita semua sentiasa dalam kesejahteraan, dilindungi ALLAH taala dari godaan syaitan durjana dan niat jahat manusia. Ameen.

Adik-adik,

Apa khabar agaknya IMAN kita hari ini? Sudah kah adik-adik bertanya keadaan IMAN? Jika sudah, alhamdulillah. Kepada yang belum bertanya khabar, cepat-cepatlah~ angkat tangan kanan, letak di dada, usap perlahan-lahan sambil berbisik.."apa khabar wahai IMAN? Moga sihat hendaknya". Bisikkan ia berkali-kali agar IMAN kita tersedar jika ia terlena dalam lena yang panjang.

Ingatlah adik-adik, IMAN lah yang membentengi diri kita dari perkara-perkara yang dimurkai ALLAH taala. Jadi, mari sama-sama kita jaga IMAN sebaik-baiknya.



14 Febuari datang lagi. Saban tahun ia ada. Ada yang anggap 14 Febuari itu sama seperti hari-hari lain; tiada beza. Ada juga yang raikan dan ingati hari ini sebagai hari berkasih sayang; Hari CINTA; Hari KEKASIH. Lalu, dirancang temujanji dengan kekasih hati untuk memperingati hari yang datang setahun sekali ini. Ada yang berjanji untuk keluar makan, mahu pakai baju yg sama warna, menghadiahkan kekasih hati dengan bunga, coklat, teddybear dan sebagainya yang dibalut dan direben cantik. [Lawa-lawa dan kiut-kiut semuanya, kadang-kala akak pun berkenan dengan hadiah-hadiah Valentine's yg dijual di Shopping Complex]. Indah sungguh dunia orang bercinta. Berwarna warni bak pelangi. 


Cuma satu yang kakmija musykilkan, jika 14 Febuari adalah hari CINTA; hari KEKASIH. Jadi, hari-hari lain bukan hari CINTA dan KASIH?Jika 14 Febuari adalah hari CINTA, tapi kenapa adik-adik memilih untuk raikannya hanya dengan kekasih hati? Kenapa IBU dan AYAH serta KELUARGA tidak ada dalam senarai untuk raikan hari CINTA? Sudah tidak CINTA dan KASIH kah adik-adik kepada mereka? Baik, kita ketepikan dulu soalan-soalan ini. Akak serahkan kepada adik-adik yang pandai-pandai belaka, untuk dapatkan jawapannya.

Adik-adik yang dikasihi,
Jika ditanyakan kepada 10 orang gadis manis di luar sana, apa makna 14 Febuari kepada mereka? Akak percaya, 6/10 akan menjawabnya dengan; VALENTINE'S DAY; Hari Kekasih. Hari yang sangat bahagia dalam tahun tersebut. Namun, percayakah adik-adik, ada juga gadis manis yang akan menjawab~ "inilah hari yang paling malang dan durjana dalam hidup saya".
Aduuhhh, bagaimana jadi begitu? Kenapa boleh jadi MALANG? Kenapa hari bahagia ini dikatakan DURJANA?Bukan adik saja yang hairan, akak pun turut hairan. Masakan tidak, di kala TV-TV dan pawagam menayangkan iklan-iklan, filem-filem, drama-drama berunsurkan CINTA suci dan bahagia sempena 14 Febuari, di kala shopping-shopping complex dihias indah dengan tema CINTA, diputarkan lagu CINTA, dijual barangan-barangan kiut bertemakan CINTA, harus bagaimana hari bahagia ini menjadi malang?


Melihat muka akak yang berkerut, gadis tadi, Aina namanya, memulakan cerita. 
~~~~~~

"Sebagaimana gadis-gadis lain, saya juga ada kekasih. Seronok mendengar cerita kawan-kawan tentang kekasih masing-masing, segala-galanya indah, kak. Jadi, saya sangat teringin untuk punya kekasih". Dia berhenti bercerita, tampak segan untuk meneruskan. KakMija senyum padanya.

"Saya kenal dia sekejap. Dalam 3 bulan. Semuanya bermula, bila dia datang ke kedai saya berkerja. Dari situ, dia minta no.telefon saya. Melihat mukanya yang manis, saya tunaikan hajatnya.. Saat tu, hati saya berbunga-bunga. Bahagia sekali. Setiap hari dia pasti akan telefon, atau mesej. Tapi, kami tak pernah keluar. Saya takut.. takut jika kakak saya tanya. Oh ya, saya tinggal dengan kakak di Bandar L. Mak dan ayah pula di kampung. Lepas SPM saya ikut kakak saya semata-mata nak cari pengalaman kerja".

Air matanya mula bergenang. Kakmija panik seketika, lantas mencapai kotak tisu di hujung meja dan menghulurkan kepadanya. 
Dia menyambung cerita..

"Pada hari Valentine's, dia ajak saya keluar. Katanya, kalau betul-betul sayangkan dia, saya kena ikut dia keluar makan. Dan dia, beritahu saya, betapa cemburunya dia dengan kawan-kawannya, kerana dapat dating dengan kekasih pada malam Valentine's. Apabila mendengar suaranya yang memujuk hingga hampir merajuk, saya bersetuju dengan hasratnya. Malam itu, selepas waktu kerja jam10 malam, saya membonceng motorsikalnya. Kepada kakak, saya bagitahu, yang saya keluar makan dengan kawan-kawan sekerja".

Dia mengeluh kecil.. dan ceritanya berhenti. Tangannya meraup muka yang sedikit pucat. Berkali-kali dia mengeleng. Kakmija biarkan dia melayan rasa di hati. Hampir 5 minit dia begitu..
"Aina...Aina ok? Kalau tak nak cerita, tak mengapa. Kita sambung lain kali...", kakmija kata padanya tapi cepat-cepat dia pintas.

"Kak, saya nak ceritakan semuanya pada akak. Saya tak nak rasa bersalah ni menghantui diri saya. Biar lah saya terus terang malam ni". Aina bertegas untuk menghabiskan sesi kami pada malam ini juga. Aina, tidak lah termasuk dalam kategori lawa, tapi dia tetap manis. Sopan tingkahnya, dan bukan dalam kategori gadis 'sosial'. Anak yang taat, tidak pernah berpisah dengan ibu dan ayah, cuma selepas SPM sahaja dia mengikut kakaknya ke bandar lain.

Sambil mengusap perutnya yang buncit itu, dia menyambung cerita.

"Malam itu, kekasih saya, Adi membawa saya ke bandar lain. Katanya, kedai makan kat situ antara yang best. Saya ikutkan sahaja. Adi juga hadiahkan saya dengan sebentuk cincin silver punya lambang hati. Cantik....
 Kami berborak, dan mengusik-ngusik. Katanya, dia mahu masuk meminang saya. oohh...bahagia sekali rasanya. Asyik memadu kasih, kami terleka dengan waktu, hampir jam 1 pagi kami di sana".

"Lantas, saya mengajaknya pulang. Pasti kakak saya bimbang akan saya, dan Adi bersetuju.
Di pertengahan jalan, Adi berhenti di depan sebuah motel. Katanya, dia tidak larat untuk teruskan perjalanan dan cadangkan untuk kami bermalam di situ. Takut mula datang, bermacam-macam perkara timbul dalam fikiran. Saya kata, saya mahu ambil teksi, tapi Adi kata, teksi tiada pada lewat malam. Adi pujuk saya, katanya, dia akan sewa 2 bilik berasingan. Dengan berat hati, saya bersetuju. Kepada kakak, saya hantar SMS mengatakan saya tidur di rumah kawan".

"Saya biarkan Adi, berurusan di kaunter. Malu untuk tunjukkan muka kepada penjaga kaunter. Adi memberikan kunci bilik kepada saya. Sesampainya di bilik saya, dia turut masuk ke dalam. Saya terkejut. Dengan muka yang letih, Adi kata yang semua bilik sudah penuh. Dia menambah, jika saya tak izinkan, dia sanggup tidur di luar bilik. Kesian dengan keadaannya, saya izinkan dia di dalam. Dia berjanji tidak akan apa-apakan saya". Air mata yang kering tadi, mula merembes kembali. Kali ini, lebih laju. Terhenjut-henjut bahunya menahan getar.

"Kak.... saya berdosa. Inilah balasan kerana saya menipu kakak saya.."
"Malam tu, kami telah berzina kak... saya..saya..saya terpujuk dengan kata-kata manis Adi, hanya dengan umpan cincin, saya serahkan semuanya".
"Saya dah lupa Tuhan kak. Padahal saya tahu, zina itu besar dosanya. Dari kecil, mak ayah saya hantar saya belajar agama". Esaknya makin kuat.. tidak cukup dengan tisu di tangan, hujung tudungnya turut digunakan untuk mengelap air mata.

Dalam sendu, dia meluahkan, "saya berdosa kak... Tuhan masih terima saya ke? Saya takut sangat-sangat Tuhan azab saya dengan api neraka..".

Kakmija katakan padanya, "Aina, insyallah... wanita yang berzina, andai dia betul-betul ikhlas mahu bertaubat, insyallah, ALLAH taala pasti akan terima taubat hambaNYA dan dia ibarat kain yang putih bersih tanpa noda. Beruntung lah Aina..beruntunglah... jika awak termasuk dalam golongan orang-orang yang bertaubat". Kakmija dapat melihat senyuman di bibirnya. Wajahnya tenang.

~~~~~~

Adik-adik yang disayangi,

Itu secebis kisah yang ada di sini. Hanya  kerana tarikh 14 Febuari, Aina telah terpedaya dengan godaan syaitan. Pastinya, syaitan berpesta riang pada tarikh ini, kerana dapat mengajak ramai anak-anak muda mengikuti bisikan-bisikan jahatnya. Akak percaya, bukan Aina dan Adi sahaja yang telah tewas, tapi ramai lagi di luar sana.

Malang bagi Aina, kerana Adi telah menghilangkan diri, sebaik mengetahui Aina mengandung. Mahu dicari, Aina tidak tahu di mana rumah Adi. Telefonnya juga telah ditutup. Dalam keterpaksaan, Aina memberitahu kakaknya tentang keadaan dirinya. Lantas, kepada ibu, kakak adukan masalah besar ini. Hampir pengsan ibu tua itu..menangis ibu tidak percaya dengan perkhabaran yang baru diterima.  Buat sementara waktu, mereka terpaksa sembunyikan daripada ayah, kerana ayah punya penyakit jantung. Mereka sepakat untuk memasukkan Aina ke rumah pemulihan, bagi merahsiakan perut yang mula memboyot.

Itulah harga yang perlu keluarga ini bayar demi melindungi sebuah maruah. Bukan hanya maruah Aina, tapi juga maruah dan harga diri ibu dan ayah.


Adik-adik,

Ingatlah kasih sayang dan jasa yang telah ibu dan ayah curahkan buat diri adik-adik. Sungguh besar pengorbanan mereka. Membanting tulang siang dan malam demi sesuap nasi yang mahu dimasukkan ke mulut adik-adik. Kadangkala, kesihatan diri sendiri pun mereka abaikan, demi menyekolahkan adik-adik. Berbelas-belas dan berpuluh-puluh tahun mereka menjaga, dan membesarkan dirimu. Jangan dengan hanya kata-kata manis dan pujuk rayu seorang kekasih, dirimu terus melupakan dan membelakangi ibu dan ayah. Ingatlah, adik-adikku sayang, bagi seorang anak, redha ALLAH taala itu terletak pada redha ibu dan ayahnya.


Adik-adik yang akak sayang, 
Bentengilah dirimu dengan iman yang teguh, kerana;

"Tidak akan berzina seorang pelacur semasa berzina jika dia beriman, dan tidak akan minum khamar (arak) ketika meminumnya jika beriman, dan tidak akan mencuri seorang pencuri jika dia beriman." (Riwayat Bukhari dan Muslim)


Penuhi solat 5 waktu. Hiasi diri dengan adab sopan yang tinggi.  Rajinlah menuntut ilmu, hadir ke majlis-majlis ilmu. Cari sahabat-sahabat yang solehah yang menjaga solatnya dan auratnya. Insyallah, walau sekencang manapun dugaan dan pujuk rayu yang datang menggila, semuanya itu, adik-adik mampu menepisnya. Kepada Rabbul ‘izzati, mulakan berdoa, agar DIA mengurniakanmu jodoh soleh yang terbaik buat DIRImu, AGAMAmu, KELUARGAmu, DUNIAmu, dan AKHIRATmu. Ameen~



Moga kita semua sentiasa dirahmati~

Kakakmu, yang menyayangimu
KAK MIJA AZMIZA
14 Febuari 2012
4.00 ptg @ DARWA
*********************************


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...