Sunday, November 28, 2010

10 wanita didera sehari

diambil dari Berita Harian Online

Oleh Sophia Ahmad
sophia@bharian.com.my
2010/11/28


Ramai mangsa enggan buat laporan

KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, mendedahkan purata 10 wanita negara ini dilaporkan menjadi mangsa kes keganasan setiap hari, mencakupi keganasan seksual, fizikal dan emosi.

Jumlah sebenar mangsa, katanya, bagaimanapun dipercayai lebih daripada itu kerana angka yang diberikan hanya membabitkan jumlah kes yang dilaporkan.
“Statistik ini diberikan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kita percaya jumlah sebenar (mangsa) lebih banyak lagi, cuma tidak dilaporkan. Pada peringkat global pula, sekurang-kurangnya seorang daripada tiga wanita di seluruh dunia dipukul, dipaksa melakukan aktiviti seksual atau didera sepanjang hayatnya,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam teks ucapan dibacakan Timbalannya, Senator Heng Sei Kei pada majlis pelancaran Kelab Youth Orbit-Circle of Influence (YO!), di sini semalam.


Shahrizat berkata, apa yang lebih malang ialah pendera atau penjenayah itu lazimnya terdiri daripada individu yang dikenali atau sangat rapat dengan mangsa dan angka yang dilaporkan oleh PDRM itu hanya sebahagian kecil daripada keadaan sebenar yang berlaku.


“Realitinya, saya percaya lebih ramai wanita berdiam diri dan enggan melaporkan atau malu untuk melaporkan keganasan serta penderaan ke atas mereka. Situasi ini semakin membimbangkan kerana ia bukan saja mengancam nyawa dan kesejahteraan mangsa, bahkan boleh menggugat pertumbuhan moral masyarakat khususnya generasi muda negara.


“Keganasan terhadap wanita adalah isu global yang masih menghantui kebanyakan negara termasuk negara maju. ini membuktikan isu ini tiada kaitan dengan faktor kaum, kepercayaan agama, status ekonomi dan sosial.


“Pendek kata keganasan terhadap wanita boleh berlaku kepada sesiapa saja dan di mana saja,” katanya.


Katanya, semua pihak perlu sedar zaman kian moden tidak menghalang keganasan terhadap wanita terus berlaku sama ada secara terang atau tersembunyi dengan keganasan dalam rumah tangga dan sumbang mahram lazimnya disorokkan daripada pengetahuan umum dan mungkin tidak dilaporkan kerana membabitkan maruah keluarga.


“Konotasi ini menyebabkan keganasan terus berlarutan, mangsa menderita untuk tempoh yang lama dan akhirnya menyebabkan kecederaan fizikal serta gangguan mental dan emosi,” katanya.

Wednesday, November 24, 2010

KERANA CINTA, KELUARGA DISISIHKAN

“Biarlah dia pilih jalan hidup sendiri. Kami dah penat!”, itulah luahan seorang ahli keluarga kepada seorang remaja wanita yang lari mengikut teman lelakinya.

Tiada ibu bapa didunia ini yang mahukan anak-anaknya menjalani kehidupan yang susah. Semua ibubapa mengharapkan anak-anaknya menikmati kehidupan yang bermakna, bahagia dan seiring redhoNya. Lantaran itu, ibubapa akan kerap menasihati, memberi bimbingan supaya anak-anak tidak tersilap pilih jalan.

Namun, semua impian hancur bila anak gadis mula mengenali dunia cinta. Kekadang semua pesanan dan nasihat ibubapa dilupakan begitu sahaja. Kerana mengejar cinta seorang lelaki yang terbukti tidak jujur, keluarga disisihkan, ibubapa diabaikan, perasaan keduanya dilukai. Habis puas dinasihati oleh ibubapa dan ahli keluarga, namun semuanya ibarat mencurah air di daun keladi, masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri. Sudahnya, remaja wanita tersebut mengambil keputusan melarikan diri walau diri telah didera, dilukai oleh lelaki yang kononya cinta sejatinya.

KERANA CINTA ITU, MATA HATI BUTA.

Lantaran kuasa cinta yang tidak berbelah bahagi kepada si lelaki, maruah diri diserahkan tanpa segan silu walau tiada sebarang ikatan yang menghalalkan persetubuhan. Daripada penzinaan tersebut, terhasil seorang janin yang sedang membesar di rahim si remaja wanita tadi. Diri dipukul, dikurung, duit ditipu, tidak sekalipun memberi keinsafan kepada remaja wanita tersebut. Cinta terhadap sang lelaki tetap utuh disanubari. Kerana cinta itu, mata hatinya buta untuk menilai antara kaca dan permata.

Ini merupakan ilustrasi kejadian benar yang menceritakan kepada kita gejala gadis melarikan diri kerana cinta. Menariknya, 99.9 peratus kes hilang kerana cinta adalah melibatkan golongan perempuan,namun ada juga sebilangan lelaki lari mengikut kekasih. Kesemuanya melibatkan golongan bumiputera bukan Islam. (Kosmo Online, 22 Jun 2009).

Mengikut sebuah laporan, setiap hari dua orang gadis lari ikut kekasih. Merujuk kepada statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengurusan Cawangan Hal Ehwal Awam PDRM, daripada 25,243 orang dilaporkan hilang lima tahun lalu, seramai 3,957 atau hampir 16 peratus membabitkan kes mengikut kekasih. (ibid.)

Tambahan lagi, remaja wanita Melayu lingkungan 14 hingga 17 tahun merupakan penyumbang terbesar kepada satistik gadis hilang di Malaysia pada tahun 2000 hingga 2006. Gadis hilang demi cinta merupakan faktor utama kehilangan di Negara ini sejak kebelakangan ini. Ini sudah tentu merupakan perangkaan yang merisaukan kerana gadis hilang kerana cinta tersebut mungkin terpedaya dengan tipu muslihat kekasih hati yang ingin menjerat mereka ke lembah pelacuran, jenayah rogol, bersekedudukan dan lain-lain.

KELEMAHAN JATI DIRI SEBAGAI PUNCA UTAMA

Bukan sedikit jumlah remaja wanita yang tertipu dengan pujukan manis sang lelaki yang tidak bertanggungjawab. Dimana silapnya? Walau dibentang puluhan sebab-musabab sekalipun, pokok pangkal kepada gejala ini adalah kelemahan jati diri sebagai Muslimah khususnya.

Jati diri sebagai Muslimah berdiri diatas asas yang rapuh. Iman senipis kulit bawang terus-terusan dibiar sehingga mudah sekali dirobek dengan satu kali sentuhan. Kewajipan dan tuntutan agama diabaikan. Putus asa, kecewa dan tidak yakin menghiasi pembinaan karekter diri. Akibatnya, hidup dipandu dengan emosi dan nafsu yang menghancurkan diri. Maka apabila dihujani dengan pujuk rayu cinta duniawi, diri tersungkur menyembah bumi dan kerana diturutkan kata hati, badan binasa habis dilukai.

Berbahagialah menjadi muslimah sejati. Menutup aurat, tuntutan rukun iman dan Islam dilaksana dengan penuh keikhlasan. Diri dihiasi adab sopan yang tinggi, yakin diri, rajin menuntut ilmu barulah akan terlahir jati diri yang kuat. Walau ditiup angin kencang dugaan dan pujuk rayu, semuanya mampu ditepis dengan keimanan yang tidak berbelah bahagi kepada Rabbul ‘izzati. Hati tetap teguh, “AKU MAHUKAN REDHO ALLAH DALAM KEHIDUPAN SINGKAT INI.” wallahu’alam.

Tuesday, November 9, 2010

JENAYAH ROGOL

Merujuk kepada sebuah laporan, kes jenayah seksual melibatkan wanita dari tahun 2008 hingga Ogos 2010 yang lalu mencatatkan peningkatan jumlah kes iaitu sebanyak 5,174 kes.(Berita Harian Online, 25 Oktober 2010)

(contoh keratan akhbar mengenai rogol)

Turut dilaporkan, jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan remaja perempuan di bawah 18 tahun adalah tinggi berbanding ke atas wanita iaitu sebanyak 53.7 peratus. Peratusan ini menunjukkan gejala rogol tidak lagi mengenal peringkat usia. Jenayah rogol boleh terjadi ke atas kanak-kanak perempuan sehingga ke nenek tua yang uzur. Justeru, wanita perlu bijak menjaga keselamatan diri daripada menjadi mangsa kerakusan insan durjana.


(contoh keratan akhbar mengenai rogol)

Oleh kerana jumlah jenayah ini tidak pernah menurun, kanak-kanak perempuan dan wanita perlu didedahkan dengan strategi-strategi perlindungan diri sedari kecil. Perlindungan termasuklah mengambil langkah-langkah pencegahan seperti seni mempertahankan diri, keprihatinan terhadap suasana yang mempunyai kebarangkalian untuk kejadian rogol seperti tidak berjalan di kawasan gelap dan sunyi, tidak berjalan seorang diri, prihatin terhadap perbuatan-perbuatan lucah yang ditunjukkan kepada diri seperti menunjukkan alat kelamin, sentuhan bernafsu dan sebagainya.

Di bawah ini, terdapat langkah-langkah yang boleh di ambil bagi mengelak kejadian rogol yang tidak diingini.(Di ambil dari lama web rasmi PDRM).


· Mengawasi ahli keluarga yang kurang siuman atau kebodohan supaya tidak terbiar dan terdedah kepada bahaya rogol.

· Memberi pendidikan kepada kanak-kanak mengenai kepentingan menjaga tubuh badan mereka daripada dicerobohi.

· Memberi pendidikan agama dan moral tentang dan kemudaratan perbuatan persetubuhan haram.

· Mengawasi dan memantau pergaulan anak-anak dan memastikan mereka tidak melebihi batas.

· Jangan mempercayai janji-janji oleh bomoh atau singseh. Telah terbukti persetubuhan bukan satu cara untuk berubat tetapi satu penipuan.

· Tidak mudah mempercayai janji untuk berkahwin dengan menyerah kehormatan diri.

· Tidak mudah menurut pelawaan orang-orang yang tidak atau baru dikenali untuk makan, minum, bersiar-siar atau pergi ke bilik/rumah mereka.

· Terlebih dahulu minta dan semak kad kuasa orang yang mengaku sebagai penjawat awam seperti polis atau pegawai pencegah maksiat sebelum mengikut arahan mereka.

· Elakkan dari berjalan bersendirian di tempat-tempat gelap, sunyi atau terpencil. Jika perlu pergi juga, pastikan anda berteman.

· Membawa alat penggera peribadi amat disyorkan.

· Sentiasa berwaspada dengan makanan dan minuman yang diberikan oleh orang yang tidak atau baru dikenali. Mungkin ia mengandungi dadah, bahan pelali atau perangsang nafsu.

· Berwaspada apabila melihat orang yang mencurigakan di sekitar kawasan kemudahan awam seperti tandas, stesen bas, lif dan sebagainya.

· Ketika hendak gunakan kenderaan awam, pastikan ada penumpang wanita lain bersama.


mengatasi ancaman rogol:

· Undang-undang membenarkan hak untuk mempertahankan diri daripada dirogol dengan menggunakan kekerasan ke atas penyerang (perogol) sehingga boleh menyebabkan luka parah atau kematian ke atasnya.

· Bertenang dan jangan kelam kabut jika diugut atau diserang.

· Jangan lakukan tindakan yang terburu-buru.

· Sekiranya anda membuat keputusan untuk melawan, pastikan anda benar-benar menguasai keadaan. Anda boleh gunakan tangan atau kaki atau sebarang benda yang ada pada anda seperti beg tangan, payung, kunci dan sebagainya untuk melawan.

· Camkan muka dan tanda-tanda yang ada pada penjenayah itu serta pakaiannya dan juga nombor kenderaan yang digunakan.

· Untuk membantu penyiasatan polis, anda dinasihatkan supaya tidak membasuh badan dan pakaian yang dipakai sewaktu kejadian sebelum membuat laporan polis.


Wednesday, November 3, 2010

KELAS FARDHU 'AIN DAN MENGAJI BERSAMA USTAZ RAUF ABDULLAH DI DARUL WARDAH

Alhamdulillah, setinggi-tinggi tahmid dan syukur kepada Rabbul 'Izzati kerana limpah rahmat dan inayahnya, Darul Wardah masih istiqomah berbakti di jalan Nya. InsyaAllah.

Semalam, Selasa bersamaan 3 November 2010, Ustaz Raof Abdullah berkesempatan untuk mengadakan kelas fardhu 'ain dan Qur'an kepada para penghuni Darul Wardah, dan juga mualaf setempat bertempat di Darul Wardah.

Kelas dimulakan dengan solat maghrib berjemaah dan sejurus selepas itu, Ustaz Raof memulakan kelasnya.




Sebagai pembuka kelas, Ustaz selesa untuk bertaaruf dengan penghuni bagi memudahkan penyampaian mesejnya. Untuk permulaan, ustaz menggalakkan penghuni untuk meleraikan ikatan yang menghambat seseorang daripada menerima ilmu iaitu memperbetulkan niat kerana sebuah hadith yang mafhumnya menasihatkan...

"innamal a'mal bil niyyat" (sesungguhnya setiap amalan itu berdasarkan niat).

Ustaz menyarankan agar semua yang mengikuti majlis ilmu ini mengikhlaskan diri agar ilmu yang disampaikan lekat diminda, diyakini dengan hati dan diterjemahkan dalam bentuk tindakan. Itulah tujuan akhir yang ingin dicapai bersama melalui kelas aqidah dan qur'an ini.



Sebelum menyentuh bab aqidah secara mendalam, ustaz dengan laras bahasa yang mudah difahami menerangkan keperluan iman di dalam diri setiap individu. Ustaz dengan panjang lebar berbicara tentang kepentingan iman, aqidah kepada orang Islam kerana ia merupakan asas kepada tujuan hidup iaitu mengabdikan diri kepada Rabb. (Wa ma khalaq tul jinn wal ins a illa liya'budun)

Iman menjadikan kehidupan seseorang itu sentiasa berpaksikan kepada mencapai keredhoan Allah di dunia dan akhirat. Apabila seseorang kuat iman dan taqwanya kepada Yang Maha Agung, maka secara tidak langsung, rohaninya kuat. Dan apabila rohani seseorang itu kuat, maka ia tidak mudah dikalahkan oleh syaitan, dan ditundukkan oleh hawa nafsu yang sentiasa mengajak kepada kemungkaran.

Kepercayaan kepada kalimah tawhid, "La Ilahaillallah wa muhammadan rasulullah" sentiasa memperingatkan kita kepada keEsaan Allah yang tiada sekutu bagiNya dan Nabi Muhammad s.a.w sebagai perutusan Allah kepada manusia untuk menjalani kehidupan sebagai hamba dan khalifah di bumi Allah ini selaras dengan kehendakNya iaitu patuh kepada syariat dan menjauhi laranganNya.

Kesimpulannya, ustaz memulakan kelas aqidahnya dengan meminta penghuni supaya ikhlas dalam menimba ilmu fardhu ain selain menanam asas aqidah iaitu keimanan supaya penghuni jelas tujuan manusia diciptakan dan kenapa kita beragama Islam. Ini selaras dengan sebuah pernyataan yang menyatakan, "seseorang itu tidak akan kenal akan dirinya, selagi mana dia tidak mengenal TuhanNya". Wallahu'alam.


<
P/S: KELAS USTAZ RAOF akan diadakan pada setiap hari SELASA dan RABU setiap minggu dimulai dengan solat maghrib berjemaah. Kelas diselang-selikan dengan kelas fardhu 'ain dan belajar mengaji. Semua dijemput hadir untuk memeriahkan lagi majlis ilmu ini. Semoga kelas ini diberkati oleh Nya. InsyaAllah.

Tuesday, November 2, 2010

KATAKAN TIDAK PADA ZINA!!!!!


Memandangkan kes buang bayi dan anak tidak sah taraf semakin meningkat saban hari, ini jelas menunjukkan budaya zina sedang bermaharajalela di negara ini.

Umum mengetahui, tiada satu agama pun yang membenarkan hubungan kelamin diluar pernikahan/ perkahwinan. Apatah lagi agama Islam yang salah satu daripada maqasid syariahnya ialah memelihara nasab dan keturunan supaya terjamin kemuliaan generasi manusia dengan pernikahan yang sah di sisi syarak.

Golongan remaja seawal usia 12 tahun sudah terlibat dengan jenayah syariah yang terkutuk ini, membuatkan kita menggeleng kepala, bertanya dalam hati "di mana silapnya???"

Terdapat pelbagai faktor yang mendorong kepada gejala sosial tidak bermoral ini, daripada keruntuhan institusi keluarga, sosial, pergaulan bebas, kehancuran aqidah, akhlak dan moral, hiburan terlampau, kecanggihan teknologi yang disalah guna untuk tujuan pornografi, dan lainnya menyebabkan gejala zina ini terus membarah.

Tepuk dada, tanyalah iman...

"Tidak akan berzina seorang pelacur semasa berzina jika dia beriman, dan tidak akan minum khamar (arak) ketika meminumnya jika beriman, dan tidak akan mencuri seorang pencuri jika dia beriman." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

"Hati-hatilah kamu daripada bicara-bicara dengan wanita, sebab tiada seorang lelaki yang berduaan dengan wanita yang tidak ada mahramnya melainkan ingin berzina padanya." (Riwayat Al-Hakim)

"Jika seorang berzina, maka keluarlah iman daripadanya bagaikan payung di atas kepalanya dan apabila ia menghentikannya maka kembalilah iman kepadanya." (Riwayat Abu Daud & Al-Baihaqi)

" Sesungguhnya tujuh petala langit dan bumi sama mengutuk orang yang selalu berzina dan bau kemaluan pelacur di dalam neraka dapat menganggu ahli neraka lain kerana sangat busuk." (Riwayat AlBazaar)
"Laknatlah untuk orang berzina, orang yang memakan riba dan orang yang menulis urusan riba dan orang yang menyaksikan riba. Mereka itu keadaannya sama sahaja." (Sahih Muslim).

"Awaslah kamu daripada berdua-duaan dengan wanita, demi Allah yang jiwaku di tanganNya. Tiada seorang lelaki yang berdua-duaan dengan wanita melainkan dimasuki syaitan antara keduanya." (Riwayat At-Tabarani)
"Seorang yang berzina atau minum khamar, maka terlepaslah iman daripadanya sebagaimana orang melepaskan gamis(baju) dari kepalanya."(Riwayat Al-Hakim)

"Akan aku ceritakan kepada kamu sebuah hadis yang tidak ada orang lain yang akan menceritakan setelah aku. Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda : Di antara tanda kiamat ialah sedikit ilmu, banyak kejahilan, berlaku banyak penzinaan, ramai kaum perempuan dan sedikit kaum lelaki sehingga nantinya seorang lelaki akan mengurus lima puluh orang perempuan." (Riwayat Bukhari & Muslim).

" Dan seorang yang bersentuhan dengan babi yang berlumpuran dengan lumpur yang busuk lebih baik daripada bersentuhan dengan bahu wanita yang tidak halal baginya." (Riwayat At-Tabarani).

BERBAHAGIALAH MENJADI GADIS...
BERBANGGALAH MENJADI TERUNA HEBAT...
KATAKAN TIDAK PADA ZINA!!!


SEKILAS AKTIVITI DARWA SEPTEMBER-OKTOBER 2010


Aktiviti Harian/ Aktiviti Kerohanian

  • Solat Fardhu berjemaah
  • Solat Sunat Taubat, sunat Dhuha
  • Qiyammulail
  • Puasa sunat Isnin dan Khamis
  • Mari belajar solat
  • Mengaji/Hafazan
  • Tazkirah interaktif
  • Belajar tulisan jawi
  • Bacaan Al-Mulk

Aktiviti Berkala
  • Kuliah Ustaz Rashidy Jamil Ar-Rasyid diadakan sekali seminggu setiap hari Khamis jam 8 malam (* berubah mengikut kelapangan ustaz).

  • Kelas Motivasi bersama Kak Hidayah setiap hari Rabu, jam 9 hingga 11 pagi.
  • Usrah bersama K. Aza, setiap hari Jumaat, jam 9 hingga 11 pagi.
  • Gotong-royong Darwa setiap hari Sabtu jam 7 pagi.
  • Rehlah Darwa sekali sebulan
  • Senaman/Jogging seminggu sekali (* mengikut kelapangan masa)

Kunjungan Pihak Luar
  • Lawatan dan kerja sosial dari Pelajar UiTM Puncak Alam pada 22 September 2010.






  • Lawatan dan kerja sosial dari Persatuan Pelajar Islam Kelantan (PPIK) dan Kesatuan Pelajar Islam Johor (KPIJ) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada 30 Oktober 2010/ Sabtu.




Pihak Darwa sentiasa mengalu-alukan sukarelawan-sukarelawan untuk mengisi kelapangan di Darul Wardah dengan pelbagai pengisian seperti kelas kemahiran, menjahit, memasak dan sebagainya.

Friday, October 29, 2010

......PILIHAN.....

Tanyakanlah pada dirimu...dan

Hidupmu tidak akan pernah sama lagi...

Kehidupan kita hari ini ditentukan oleh keputusan yang dibuat semalam

Dan kehidupan kita pada esok hari ditentukan oleh keputusan kita pada hari ini..

***

Adakah anda mahu sengsara dikemudian hari?

Atau adakah anda mahu bahagia?

Anda berhak membuat pilihan.

Keputusan di tangan anda.

***

Tahukah akan dikau pilihan yang tepat???

Jawapannya...

JAUHI MAKSIAT DAN ZINA PERBUATAN KEJI

InsyaAllah, bahagia akan kau kecapi

Bukan sahaja didunia, di akhirat lebih abadi

***

Tutupah rapat-rapat semua pintu menuju kehancuran

Bukalah seluas-luasnya pintu kebahagiaan

BERBAHAGIALAH MENJADI GADIS SUCI &

BERBANGGALAH MENJADI TERUNA HEBAT!!!

Sunday, September 19, 2010

Bila putik akidah berkembang



Ramadhan dan Syawal melampiaskan seribu keberkatan. Dengan petunjuk Nya jua, saudara baru yang telah memeluk Islam sejak dua bulan lepas telah selamat mendaftar diri disebuah Kolej.

Dugaan dan konflik yang tak putus-putus bagi remaja perempuan yang baru berusia 19 tahun. Dibuang keluarga, dipulau rakan, terpaksa memberhentikan pengajiannya dalam bidang Bahasa Inggeris disebuah Universiti. Terkontang-kanting kesana dan ke mari. Akhirnya menjadi penghuni sementara DARWA.

Bukan mudah putik-putik iman mahu berkembang menjadi bunga yang harum baunya. Bahkan kembang yang tak mungkin layu.

Pening juga , ketika memikirkan ongkos untuk membiayai pengajiannya. Tapi percayalah dengan kesabaran, keikhlasan dan kekentalan semangat, Allah akan tunjukkan jalan. Dan begitulah kerja Allah , Dia memberi petunjuk kepada siapa yang dikehendakiNYA, lantas Allah akan menunjukkan jalan ke arahNYA.

Sesiapa yang ingin membeli saham Allah, bantulah saudaramu ini kepada DARWA.
Wallahua'lam.

Anak Angkat

Bila anak menjadi anak yang tidak di ingini, kemana nasib harus ditujui ? Polisi DARWA seboleh mungkin anak dijaga oleh ibu atau waris yang berkemampuan. Tujuannya untuk mengelakkan FITNAH yang lebih besar pada masa akan datang.

Namun dalam kes-kes tertentu, melihat kondisi ibu dan keluarganya, adakalanya DARWA merekomenkan kepada keluarga angkat. Walaubagaimanapun kesnya amat jarang sekali.

Junjungan Besar kita pernah disusui dan dijadikan anak angkat oleh Ummu Aiman dan Halimatussadiah. Dibesarkan dalam suasana penuh keimanan dan kasih sayang , itulah kriteria keluarga angkat yang dicari oleh pihak Darwa.

Menyedari ramai pihak diluar sana yang kepingin menimang cahaya mata, tetapi belum diizinkan Allah, bolehlah menghubungi pihak DARWA untuk dimasukkan kedalam pengkalan data. Mudah-mudahan memberi manafaat bagi semua.

Wallahua'lam.

Kemaafan Syawal 1


Indahnya syawal dengan kemaafan yang dihulurkan. Alhamdulillah dengan berkat bulan Syawal kasih antara ibu dan anak bertaut kembali. Setelah terbuang beberapa purnama tanpa kunjungan ibu bapa, akhirnya menjelang hari raya mereka menziarahi anak mereka.

Cerita air mata dan lara diawal pertemuan. Sang anak tidak mahu mendengar kata orang tua. Yang tua berdegil mahukan anak mengikut kata mereka. Setelah lama berhujah dan melepaskan perasaan akhirnya satu keputusan telah dibuat. Anak kecil yang tidak berdosa ditinggalkan di Darwa. Sang ibu akan mengikut orang Tua beraya nun jauh di Selatan tanah air. Dengan janji akan berbincang dan mencari kata sepakat yang terbaik.

Hari Raya kedua sang ibu kembali ke DARWA dengan membawa keputusan. Akhirnya dengan rahmat Allah keputusan terbaik telah disepakati bersama. Pokoknya ia berita menggembirakan bagi semua.

Bukankah mudah kalau dari dahulu lagi mereka datang dan berbincang bersama ?

Monday, August 16, 2010

Imarah Ramadhan


Alhamdulillah, sinar Ramadhan datang dengan seribu keberkatan. Ironisnya Darul Wardah juga semakin melimpah dengan pendatang-pendatang baru. semakin "makmur dan meriah " sehinggakan DARWA membuka sebuah lagi rumah.

Apabila datang bulan Ramadhan , maka dibukakan pintu-pintu syurga, dan ditutupkan pintu -pintu neraka, dan syaitan-syaitan diikat. Namun Syaitan-syaitam dalam diri manusia yang namanya NAFSU itu sungguh sukar dan liat untuk ditundukkan.

Seawal sahur ramadhan pertama, panggilan kemasukan bertalu-talu. Dari kisah anak dara dilarikan orang berkahwin di Sempadan, isteri berbangsa asing yang diceraikan suami secara tiba-tiba sementelah 30 tahun memeluk Islam dan bersama. Kisah penipuan dan kecurangan seorang suami, yang juga akhirnya tertipu, kerana wanita yang mahu diangkat sebagai isteri itu tak lebih hanya mahu menjadikannya penyendal untuk bayi yang entah kepunyaan lelaki mana!

belum lagi kisah dunia akhir zaman, gadis-gadis kehilangan dara dan harga diri pada arjuna yang melarikan diri. Yang terkini sehingga dicatat baru berusia 15 tahun, bakal menghadapi ujian besar persekolahan, akhirnya mengandung luar nikah akibat zina dengan jejaka 17 tahun!

MasyaAllah! kerosakan dan kebinasaan apa lagi yang harus dicatat !

Ku rindukan kedamaian Ramadhan!

Thursday, July 8, 2010


DARWA menerima penghuni baru diawal uia 20 an. Baru memeluk Islam seminggu yang lepas.
Ujian untuk bertahan dalam tauhid datang bertalu-talu. Keluarganya ingin mengembalikan beliau ke agama asal. Beliau dipaksa kahwin dengan lelaki yang sebangsanya.

Dia tekad meninggalkan pengajiannya di sebuah IPT untuk mengelakkan dijejaki. Azamnya di DARWA untuk mendalami Islam. Pengajian yang tertangguh akan diteruskan juga pada awal januari tahun hadapan. Bukan di sini, jauh di Pantai Timur sana.

Semoga dia kekal dalam iman dan tabah menghadapi ujian !

Monday, June 21, 2010

petunjuk positif



Pada hari pertama , DARWA membuka kembali pintunya, sembilan penghuni datang serentak pada hari yang sama.

Penghuni yang datang sebahagian besarnya terdiri mereka yang dimangsai dan di ainaya oleh mereka yang tidak berhati perut .

Alhamdulillah! penghuni yang datang menunjukkan kerjasama yang tinggi dalam usaha untuk membantu diri kearah yang lebih baik. Mereka yang pada mulanya datang dengan wajah yang sarat dengan masalah bertukar ceria dari hari ke hari.

Yang penting mereka yang terainaya itu inginkan satu kehidupan baru, dan memandang masa depan dengan lebih positif.

Yang utama sentiasa Husnul Dzon dengan Allah Taa'la.

Monday, June 7, 2010

Review Modul Pemulihan



Pertengahan Jun ini pihak darul Wardah akan menerima Penghuni -penghuni baru.
Modul dan peraturan baru bagi kes remaja mengandung luar nikah antaranya:

1. Kes mengandung yang diterima kandungan berusia kurang dari 5 bulan.
2. Keutamaan kepada kes-kes terainaya dan tanpa rela.
3. Perlukan laporan polis.

dalam banyak kes sebelum ini pemulihan tidak dapat dijalankan debgab berkesan kerana sikap penjaga /ibu bapa yang tidak memberi kerjasama.

Kami amat berharap ibu/bapa memainkan peranan dalam proses pendidikan dan pemulihan anak.
Jangan jadikan DARWA sebagai satu tempat escapism dari rasa malu. Bertanggungjawablah atas kehidupan anak-anak untuk akhirat.!

Mereka Ini Lebih Utama Untuk Dibantu



Projek Pusat Membasuh Kenderaan - 'Car Wash' milik seorang alumni Darul Wardah telah dibuka dengan rasminya pada 1 Jun 2010. Dengan pengalaman dan kemahiran yang ada Saudara Yusof dan Saudara Razak telah membina semula Bengkel untuk membasuh kereta dengan bantuan dari Darul Wardah.

Permohonan kepada pihak MAIS @LZS telah dikemukan tetapi biasanya ia memakan masa yang sangat lama. Oleh itu kepada sesiapa yang ingin menyumbang atau membantu mereka bolehlah berhubung dengan pengurusan Darul wardah segera.

Pihak Masjid An Naim juga turut memberikan ruang tapak milik masjid untuk dijadikan sebagai premis operasi mereka. Lokasi yang sangat strategik kerana berhampiran jalan utama dan premis kedai diharapkan agar perniagaan mereka ini akan bertambah maju.

Oleh kerana modal yang sangat minimum mereka hanya dapat beroperasi dengan keadaan yang sangat sederhana tetapi hasilnya tetap memuaskan. Selain membasuh kenderaan mereka juga menawarkan perkhidmatan 'polish' . sebagai permulaan mereka menawarkan pakej menarik untuk anda yang ingin mendapatkan perkhidmatan.

Kepada semua pembaca diluar sana yang ingin membantu golongan muallaf dan mustadhafin ini eloklah berkunjung ke premis mereka segera kerana kedatangan anda sangat dialu-alukan.

VANAKUM

Monday, May 31, 2010

Top 10 : Alasan Lelaki Nak Ajak Perempuan Terlanjur

10 Awak mesti buktikan cinta awak pada saya kalau tak saya lari

9 Saya tak boleh hidup lama,doktor kata boleh hidup 2 hari je lagi.Saya nak habiskan 2 hari tu dengan awak saja

8 Kalau awak mengandung,saya akan pastikan kita kahwin.Awak jugak yang nak kahwin cepat kan?

7 Saya takkan tengok porno lagi kalau awak tidur dengan saya

6 Awak tak nak rasa ke nikmat paling sedap kat dunia?

5 Saya nak tau berapa lama saya boleh bertahan

4 Takkan la kita setakat peluk-peluk je?Orang lain dah buat macam-macam dah

3 Ada 4 orang pempuan minat kat saya tapi saya nak tidur ngan awak sorang je

2 Kita cium mulut je dulu.Lepas tu kita stop

1 Saya tak sure saya gay ke tidak.Kalau saya dah tidur dengan awak,lepas tu baru la saya tau

Dipetik dari : blog 'cursingmalay'

Saturday, May 22, 2010

Graduasi Penghuni DARWA

Akhir Mei ini merupakan graduasi akhir semua penghuni DARWA. hanya tinggal seorang sahaja penghuni DARWA yang belum melahirkan anak. Selama beberapa purnama mereka tinggal bersama. ajaran, bimbingan, pahit manis tarbiyyah telah dilalui. selamat Kembali kepangkuan keluarga.

Moga-moga hari esok lebih baik dari hari semalam. Moga-moga kesilapan lalu tidak diulangi. Moga-moga segala munajat dan taubat diterima Allah. Moga-moga menjadi insan terpilih di akhirat nanti.

Darwa akan berehat sebentar selama dua minggu. Kes-kes yang melibatkan kehamilan luar nikah hanya akan diterima selepas minggu kedua bulan JUN. memberi ruang kepada pengurus, petugas untuk melepaskan penat dan lelah.bahkan dapat melegakan diri dari tekanan dan cabaran dalam menulihkan penghuni.
DARWA berazam akan memperbaiki modul dan sistem tarbiyyah agar penghuni yang memasuki DARWA bukan hanya datang sebagai sebuah tempat persinggahan.

SELAMAT SEMUANYA !

Friday, May 21, 2010

PENGUMUMAN

Pengurus Darwa, akan bercuti pada 4-8 Jun 2010. beliau akan balik ke Kampung Halamannya di Kelantan untuk bercuti rehat. Semua pengambilan masuk penghunni baru akan diangguhkan hingga 9 Jun 2010. Harap Maklum.

Tuesday, May 11, 2010

YOUNG ABIM CAMP 2010

Bantu kami menjayakan program tambah dana Rumah Perlindungan dan Pemulihan Wanita Islam....kami memberi peluang, andalah seharusnya menyambarnya ! Tambahkan saham akhirat, insyaAllah ke syurga jua....

Monday, May 3, 2010

USRAH ZIARAH BERSAMA PROF DR KHALIJAH SALLEH

20 April 2010, Kelab Shah Alam : Usrah ziarah jam 4.30petang bersama Prof Dr Khalijah Salleh merupakan pertemuan yang penuh bermakna bagi penghuni Rumah Perlindungan dan Pemulihan Wanita Islam Darul Wardah. Prof Dr Khalijah yang juga penerima anugerah Tokoh Siti Khadijah Ma'al Hijrah, memberikan rangsangan yang cukup positif kepada setiap penghuni. Menurut beliau, walau apa jua masalah atau tindakan, pastikan rujuk dahulu kepada al-Quran dan al-Sunnah.

Beliau juga turut berkongsi mukjizat bagi yang membaca al-Quran, memahami al-Quran dan mengamalkan al-Quran. Di akhir pertemuan, beliau sempat menunjukkan mukjizat al-Quran terhadap sains, bagaimana molukel air yang cantik apabila didengarkan alunan al-Quran dan bagaimana hodohnya molukel air yang didengarkan muzik. Wallahu ta'ala a'lam.

Friday, April 2, 2010

BUDAYA ZINA?????

Permintaan untuk masuk ke DARWA setiap hari makin bertambah! Ngeri rasanya !
bayangkan kalau kehadiran ke masjid, majlis-majlis Taa'lim, kuliah- kuliah , berbondong-bondong anak muda ingin megikutinya,tapi "full", sampai terpaksa ditolak , tentu best kan !

Rasa bimbang dihati, adakah semakin banyak pusat pemulihan, semakin merebak penyakit ZINA bahkan telah menjadi budaya.

Sesetengah orang berkata:

kewujudan rumah perlindungan seolah-olah menyediakan tempat untuk mereka yang berzina melahirkan anak, lepas bersalin nanti diulangi lagi.

Tak kurang juga yang mengatakan , syabas dan tahniah kerana sanggup menerima golongan yang berzina ini, sanggup mentarbiyah dan mendidik mereka pada jalan yang benar! TAUBAT!

Apa pun , pokok pangkalnya bergantung kepada niat yang ikhlas, disamping modul pentarbiyahan yang teratur dan mapan.

Semoga ALLah memberi petunjuk.

Wednesday, January 27, 2010

USRAH ZIARAH DI KEDIAMAN USTAZAH AMINAH

21 Januari 2010 - Seramai 7 orang penghuni Rumah Perlindungan Wanita Darul Wardah, Ustazah Hazlina (Pengerusi DARWA), Mija (Pengurus DARWA), Norhidayah (S/U Kerja), K.Badar, Afifah & Ummi Nani (Helwa ABIM Shah Alam) telah membuat ziarah dan usrah ke kediaman Datin Aminah yang juga isteri kepada bekas Mufti Wilayah Persekutuan Dato' Hashim di seksyen 9.

Ini adalah salah satu program lapangan tarbiyah untuk penghuni DARWA agar mereka tidak rasa tersisih dari masyarakat. Pengisian yang dibuat oleh Datin Aminah berkenaan taubat agar segeralah bertaubat nasuha dan insaf atas dosa yang lepas. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun Lagi Maha Pengasih.

Program diakhiri dengan sumbangan mesin jahit dari tuan rumah dan jamuan tengahari.

Monday, January 11, 2010

Mencari Sinar Bahagia Yang Sirna

Seorang Ibu setengah baya bersama dua orang anak lelaki dan perempuan telah bertandang ke Darwa menumpang teduh. Menurut ceritanya dia telah berpisah dengan suami. anak-anak remaja yang dibawanya berusia 9 tahun dan 16 tahun. Tidak lagi bersekolah kerana mengikut si ibu yang susah dan gelisah.

Dia mendakwa suaminya seorang yang panas baran. Sering marah-marah dan sudah dua kali terlepas kata ..cerai..cerai..Katanya kesabarannya selama 20 tahun bakal diakhiri dengan perpisahan.

Dalam dunia yang serba mahal dan berharga, tidak mudah untuk meneruskan kehidupan tanpa ilmu dan pengalaman, wang dan harta walau cuma basikal buruk, segalanya adalah suram dan kelam.

wahai suami, wahai isteri,

Fikirkanlah tentang dunia masa depan si anak yang menjadi harta ketika usia tua.

Percayalah setiap kesulitan pasti ada kesenangannya. Hanya orang yang berjaya menempuh segala ujianNya akan menjadi insan mukmin yang hebat.

Solat dan doalah selalu...mana tahu esok sinar mentari memberi bahagia kepada insan yang menggigil dek kedinginan malam.

Patah Tumbuh Hilang Berganti

Selamat datang ke Darul Wardah.

Ahlan Wa Sahlan Wa Marhaban kepada Pengurus Darul Wardah yang baru.
Seluruh kerabat dan warga penghuni mengalu-alukan kehadiran 'Mija' ke Rumah ini.

Sekurang-kurangnya dapatlah membantu kami melancarkan lagi program di sini.

Saudari Fiza telah menjadi seorang cikgu. Teruskan perjuanganmu di medan yang baru.

Kalau ada kelapangan, jenguk-jenguklah kami di sini. Kenang kami dalam doa mu.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...