diambil dari Berita Harian Online
Oleh Sophia Ahmad
sophia@bharian.com.my
2010/11/28
Ramai mangsa enggan buat laporan
KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, mendedahkan purata 10 wanita negara ini dilaporkan menjadi mangsa kes keganasan setiap hari, mencakupi keganasan seksual, fizikal dan emosi.
KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, mendedahkan purata 10 wanita negara ini dilaporkan menjadi mangsa kes keganasan setiap hari, mencakupi keganasan seksual, fizikal dan emosi.
Jumlah sebenar mangsa, katanya, bagaimanapun dipercayai lebih daripada itu kerana angka yang diberikan hanya membabitkan jumlah kes yang dilaporkan.“Statistik ini diberikan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kita percaya jumlah sebenar (mangsa) lebih banyak lagi, cuma tidak dilaporkan. Pada peringkat global pula, sekurang-kurangnya seorang daripada tiga wanita di seluruh dunia dipukul, dipaksa melakukan aktiviti seksual atau didera sepanjang hayatnya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan dibacakan Timbalannya, Senator Heng Sei Kei pada majlis pelancaran Kelab Youth Orbit-Circle of Influence (YO!), di sini semalam.
Shahrizat berkata, apa yang lebih malang ialah pendera atau penjenayah itu lazimnya terdiri daripada individu yang dikenali atau sangat rapat dengan mangsa dan angka yang dilaporkan oleh PDRM itu hanya sebahagian kecil daripada keadaan sebenar yang berlaku.
“Realitinya, saya percaya lebih ramai wanita berdiam diri dan enggan melaporkan atau malu untuk melaporkan keganasan serta penderaan ke atas mereka. Situasi ini semakin membimbangkan kerana ia bukan saja mengancam nyawa dan kesejahteraan mangsa, bahkan boleh menggugat pertumbuhan moral masyarakat khususnya generasi muda negara.
“Keganasan terhadap wanita adalah isu global yang masih menghantui kebanyakan negara termasuk negara maju. ini membuktikan isu ini tiada kaitan dengan faktor kaum, kepercayaan agama, status ekonomi dan sosial.
“Pendek kata keganasan terhadap wanita boleh berlaku kepada sesiapa saja dan di mana saja,” katanya.
Katanya, semua pihak perlu sedar zaman kian moden tidak menghalang keganasan terhadap wanita terus berlaku sama ada secara terang atau tersembunyi dengan keganasan dalam rumah tangga dan sumbang mahram lazimnya disorokkan daripada pengetahuan umum dan mungkin tidak dilaporkan kerana membabitkan maruah keluarga.
“Konotasi ini menyebabkan keganasan terus berlarutan, mangsa menderita untuk tempoh yang lama dan akhirnya menyebabkan kecederaan fizikal serta gangguan mental dan emosi,” katanya.
No comments:
Post a Comment