Wednesday, November 3, 2010

KELAS FARDHU 'AIN DAN MENGAJI BERSAMA USTAZ RAUF ABDULLAH DI DARUL WARDAH

Alhamdulillah, setinggi-tinggi tahmid dan syukur kepada Rabbul 'Izzati kerana limpah rahmat dan inayahnya, Darul Wardah masih istiqomah berbakti di jalan Nya. InsyaAllah.

Semalam, Selasa bersamaan 3 November 2010, Ustaz Raof Abdullah berkesempatan untuk mengadakan kelas fardhu 'ain dan Qur'an kepada para penghuni Darul Wardah, dan juga mualaf setempat bertempat di Darul Wardah.

Kelas dimulakan dengan solat maghrib berjemaah dan sejurus selepas itu, Ustaz Raof memulakan kelasnya.




Sebagai pembuka kelas, Ustaz selesa untuk bertaaruf dengan penghuni bagi memudahkan penyampaian mesejnya. Untuk permulaan, ustaz menggalakkan penghuni untuk meleraikan ikatan yang menghambat seseorang daripada menerima ilmu iaitu memperbetulkan niat kerana sebuah hadith yang mafhumnya menasihatkan...

"innamal a'mal bil niyyat" (sesungguhnya setiap amalan itu berdasarkan niat).

Ustaz menyarankan agar semua yang mengikuti majlis ilmu ini mengikhlaskan diri agar ilmu yang disampaikan lekat diminda, diyakini dengan hati dan diterjemahkan dalam bentuk tindakan. Itulah tujuan akhir yang ingin dicapai bersama melalui kelas aqidah dan qur'an ini.



Sebelum menyentuh bab aqidah secara mendalam, ustaz dengan laras bahasa yang mudah difahami menerangkan keperluan iman di dalam diri setiap individu. Ustaz dengan panjang lebar berbicara tentang kepentingan iman, aqidah kepada orang Islam kerana ia merupakan asas kepada tujuan hidup iaitu mengabdikan diri kepada Rabb. (Wa ma khalaq tul jinn wal ins a illa liya'budun)

Iman menjadikan kehidupan seseorang itu sentiasa berpaksikan kepada mencapai keredhoan Allah di dunia dan akhirat. Apabila seseorang kuat iman dan taqwanya kepada Yang Maha Agung, maka secara tidak langsung, rohaninya kuat. Dan apabila rohani seseorang itu kuat, maka ia tidak mudah dikalahkan oleh syaitan, dan ditundukkan oleh hawa nafsu yang sentiasa mengajak kepada kemungkaran.

Kepercayaan kepada kalimah tawhid, "La Ilahaillallah wa muhammadan rasulullah" sentiasa memperingatkan kita kepada keEsaan Allah yang tiada sekutu bagiNya dan Nabi Muhammad s.a.w sebagai perutusan Allah kepada manusia untuk menjalani kehidupan sebagai hamba dan khalifah di bumi Allah ini selaras dengan kehendakNya iaitu patuh kepada syariat dan menjauhi laranganNya.

Kesimpulannya, ustaz memulakan kelas aqidahnya dengan meminta penghuni supaya ikhlas dalam menimba ilmu fardhu ain selain menanam asas aqidah iaitu keimanan supaya penghuni jelas tujuan manusia diciptakan dan kenapa kita beragama Islam. Ini selaras dengan sebuah pernyataan yang menyatakan, "seseorang itu tidak akan kenal akan dirinya, selagi mana dia tidak mengenal TuhanNya". Wallahu'alam.


<
P/S: KELAS USTAZ RAOF akan diadakan pada setiap hari SELASA dan RABU setiap minggu dimulai dengan solat maghrib berjemaah. Kelas diselang-selikan dengan kelas fardhu 'ain dan belajar mengaji. Semua dijemput hadir untuk memeriahkan lagi majlis ilmu ini. Semoga kelas ini diberkati oleh Nya. InsyaAllah.

Tuesday, November 2, 2010

KATAKAN TIDAK PADA ZINA!!!!!


Memandangkan kes buang bayi dan anak tidak sah taraf semakin meningkat saban hari, ini jelas menunjukkan budaya zina sedang bermaharajalela di negara ini.

Umum mengetahui, tiada satu agama pun yang membenarkan hubungan kelamin diluar pernikahan/ perkahwinan. Apatah lagi agama Islam yang salah satu daripada maqasid syariahnya ialah memelihara nasab dan keturunan supaya terjamin kemuliaan generasi manusia dengan pernikahan yang sah di sisi syarak.

Golongan remaja seawal usia 12 tahun sudah terlibat dengan jenayah syariah yang terkutuk ini, membuatkan kita menggeleng kepala, bertanya dalam hati "di mana silapnya???"

Terdapat pelbagai faktor yang mendorong kepada gejala sosial tidak bermoral ini, daripada keruntuhan institusi keluarga, sosial, pergaulan bebas, kehancuran aqidah, akhlak dan moral, hiburan terlampau, kecanggihan teknologi yang disalah guna untuk tujuan pornografi, dan lainnya menyebabkan gejala zina ini terus membarah.

Tepuk dada, tanyalah iman...

"Tidak akan berzina seorang pelacur semasa berzina jika dia beriman, dan tidak akan minum khamar (arak) ketika meminumnya jika beriman, dan tidak akan mencuri seorang pencuri jika dia beriman." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

"Hati-hatilah kamu daripada bicara-bicara dengan wanita, sebab tiada seorang lelaki yang berduaan dengan wanita yang tidak ada mahramnya melainkan ingin berzina padanya." (Riwayat Al-Hakim)

"Jika seorang berzina, maka keluarlah iman daripadanya bagaikan payung di atas kepalanya dan apabila ia menghentikannya maka kembalilah iman kepadanya." (Riwayat Abu Daud & Al-Baihaqi)

" Sesungguhnya tujuh petala langit dan bumi sama mengutuk orang yang selalu berzina dan bau kemaluan pelacur di dalam neraka dapat menganggu ahli neraka lain kerana sangat busuk." (Riwayat AlBazaar)
"Laknatlah untuk orang berzina, orang yang memakan riba dan orang yang menulis urusan riba dan orang yang menyaksikan riba. Mereka itu keadaannya sama sahaja." (Sahih Muslim).

"Awaslah kamu daripada berdua-duaan dengan wanita, demi Allah yang jiwaku di tanganNya. Tiada seorang lelaki yang berdua-duaan dengan wanita melainkan dimasuki syaitan antara keduanya." (Riwayat At-Tabarani)
"Seorang yang berzina atau minum khamar, maka terlepaslah iman daripadanya sebagaimana orang melepaskan gamis(baju) dari kepalanya."(Riwayat Al-Hakim)

"Akan aku ceritakan kepada kamu sebuah hadis yang tidak ada orang lain yang akan menceritakan setelah aku. Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda : Di antara tanda kiamat ialah sedikit ilmu, banyak kejahilan, berlaku banyak penzinaan, ramai kaum perempuan dan sedikit kaum lelaki sehingga nantinya seorang lelaki akan mengurus lima puluh orang perempuan." (Riwayat Bukhari & Muslim).

" Dan seorang yang bersentuhan dengan babi yang berlumpuran dengan lumpur yang busuk lebih baik daripada bersentuhan dengan bahu wanita yang tidak halal baginya." (Riwayat At-Tabarani).

BERBAHAGIALAH MENJADI GADIS...
BERBANGGALAH MENJADI TERUNA HEBAT...
KATAKAN TIDAK PADA ZINA!!!


SEKILAS AKTIVITI DARWA SEPTEMBER-OKTOBER 2010


Aktiviti Harian/ Aktiviti Kerohanian

  • Solat Fardhu berjemaah
  • Solat Sunat Taubat, sunat Dhuha
  • Qiyammulail
  • Puasa sunat Isnin dan Khamis
  • Mari belajar solat
  • Mengaji/Hafazan
  • Tazkirah interaktif
  • Belajar tulisan jawi
  • Bacaan Al-Mulk

Aktiviti Berkala
  • Kuliah Ustaz Rashidy Jamil Ar-Rasyid diadakan sekali seminggu setiap hari Khamis jam 8 malam (* berubah mengikut kelapangan ustaz).

  • Kelas Motivasi bersama Kak Hidayah setiap hari Rabu, jam 9 hingga 11 pagi.
  • Usrah bersama K. Aza, setiap hari Jumaat, jam 9 hingga 11 pagi.
  • Gotong-royong Darwa setiap hari Sabtu jam 7 pagi.
  • Rehlah Darwa sekali sebulan
  • Senaman/Jogging seminggu sekali (* mengikut kelapangan masa)

Kunjungan Pihak Luar
  • Lawatan dan kerja sosial dari Pelajar UiTM Puncak Alam pada 22 September 2010.






  • Lawatan dan kerja sosial dari Persatuan Pelajar Islam Kelantan (PPIK) dan Kesatuan Pelajar Islam Johor (KPIJ) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada 30 Oktober 2010/ Sabtu.




Pihak Darwa sentiasa mengalu-alukan sukarelawan-sukarelawan untuk mengisi kelapangan di Darul Wardah dengan pelbagai pengisian seperti kelas kemahiran, menjahit, memasak dan sebagainya.

Friday, October 29, 2010

......PILIHAN.....

Tanyakanlah pada dirimu...dan

Hidupmu tidak akan pernah sama lagi...

Kehidupan kita hari ini ditentukan oleh keputusan yang dibuat semalam

Dan kehidupan kita pada esok hari ditentukan oleh keputusan kita pada hari ini..

***

Adakah anda mahu sengsara dikemudian hari?

Atau adakah anda mahu bahagia?

Anda berhak membuat pilihan.

Keputusan di tangan anda.

***

Tahukah akan dikau pilihan yang tepat???

Jawapannya...

JAUHI MAKSIAT DAN ZINA PERBUATAN KEJI

InsyaAllah, bahagia akan kau kecapi

Bukan sahaja didunia, di akhirat lebih abadi

***

Tutupah rapat-rapat semua pintu menuju kehancuran

Bukalah seluas-luasnya pintu kebahagiaan

BERBAHAGIALAH MENJADI GADIS SUCI &

BERBANGGALAH MENJADI TERUNA HEBAT!!!

Sunday, September 19, 2010

Bila putik akidah berkembang



Ramadhan dan Syawal melampiaskan seribu keberkatan. Dengan petunjuk Nya jua, saudara baru yang telah memeluk Islam sejak dua bulan lepas telah selamat mendaftar diri disebuah Kolej.

Dugaan dan konflik yang tak putus-putus bagi remaja perempuan yang baru berusia 19 tahun. Dibuang keluarga, dipulau rakan, terpaksa memberhentikan pengajiannya dalam bidang Bahasa Inggeris disebuah Universiti. Terkontang-kanting kesana dan ke mari. Akhirnya menjadi penghuni sementara DARWA.

Bukan mudah putik-putik iman mahu berkembang menjadi bunga yang harum baunya. Bahkan kembang yang tak mungkin layu.

Pening juga , ketika memikirkan ongkos untuk membiayai pengajiannya. Tapi percayalah dengan kesabaran, keikhlasan dan kekentalan semangat, Allah akan tunjukkan jalan. Dan begitulah kerja Allah , Dia memberi petunjuk kepada siapa yang dikehendakiNYA, lantas Allah akan menunjukkan jalan ke arahNYA.

Sesiapa yang ingin membeli saham Allah, bantulah saudaramu ini kepada DARWA.
Wallahua'lam.

Anak Angkat

Bila anak menjadi anak yang tidak di ingini, kemana nasib harus ditujui ? Polisi DARWA seboleh mungkin anak dijaga oleh ibu atau waris yang berkemampuan. Tujuannya untuk mengelakkan FITNAH yang lebih besar pada masa akan datang.

Namun dalam kes-kes tertentu, melihat kondisi ibu dan keluarganya, adakalanya DARWA merekomenkan kepada keluarga angkat. Walaubagaimanapun kesnya amat jarang sekali.

Junjungan Besar kita pernah disusui dan dijadikan anak angkat oleh Ummu Aiman dan Halimatussadiah. Dibesarkan dalam suasana penuh keimanan dan kasih sayang , itulah kriteria keluarga angkat yang dicari oleh pihak Darwa.

Menyedari ramai pihak diluar sana yang kepingin menimang cahaya mata, tetapi belum diizinkan Allah, bolehlah menghubungi pihak DARWA untuk dimasukkan kedalam pengkalan data. Mudah-mudahan memberi manafaat bagi semua.

Wallahua'lam.

Kemaafan Syawal 1


Indahnya syawal dengan kemaafan yang dihulurkan. Alhamdulillah dengan berkat bulan Syawal kasih antara ibu dan anak bertaut kembali. Setelah terbuang beberapa purnama tanpa kunjungan ibu bapa, akhirnya menjelang hari raya mereka menziarahi anak mereka.

Cerita air mata dan lara diawal pertemuan. Sang anak tidak mahu mendengar kata orang tua. Yang tua berdegil mahukan anak mengikut kata mereka. Setelah lama berhujah dan melepaskan perasaan akhirnya satu keputusan telah dibuat. Anak kecil yang tidak berdosa ditinggalkan di Darwa. Sang ibu akan mengikut orang Tua beraya nun jauh di Selatan tanah air. Dengan janji akan berbincang dan mencari kata sepakat yang terbaik.

Hari Raya kedua sang ibu kembali ke DARWA dengan membawa keputusan. Akhirnya dengan rahmat Allah keputusan terbaik telah disepakati bersama. Pokoknya ia berita menggembirakan bagi semua.

Bukankah mudah kalau dari dahulu lagi mereka datang dan berbincang bersama ?

Monday, August 16, 2010

Imarah Ramadhan


Alhamdulillah, sinar Ramadhan datang dengan seribu keberkatan. Ironisnya Darul Wardah juga semakin melimpah dengan pendatang-pendatang baru. semakin "makmur dan meriah " sehinggakan DARWA membuka sebuah lagi rumah.

Apabila datang bulan Ramadhan , maka dibukakan pintu-pintu syurga, dan ditutupkan pintu -pintu neraka, dan syaitan-syaitan diikat. Namun Syaitan-syaitam dalam diri manusia yang namanya NAFSU itu sungguh sukar dan liat untuk ditundukkan.

Seawal sahur ramadhan pertama, panggilan kemasukan bertalu-talu. Dari kisah anak dara dilarikan orang berkahwin di Sempadan, isteri berbangsa asing yang diceraikan suami secara tiba-tiba sementelah 30 tahun memeluk Islam dan bersama. Kisah penipuan dan kecurangan seorang suami, yang juga akhirnya tertipu, kerana wanita yang mahu diangkat sebagai isteri itu tak lebih hanya mahu menjadikannya penyendal untuk bayi yang entah kepunyaan lelaki mana!

belum lagi kisah dunia akhir zaman, gadis-gadis kehilangan dara dan harga diri pada arjuna yang melarikan diri. Yang terkini sehingga dicatat baru berusia 15 tahun, bakal menghadapi ujian besar persekolahan, akhirnya mengandung luar nikah akibat zina dengan jejaka 17 tahun!

MasyaAllah! kerosakan dan kebinasaan apa lagi yang harus dicatat !

Ku rindukan kedamaian Ramadhan!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...