PERTUBUHAN KEBAJIKAN DARUL WARDAH SELANGOR (DARWA )
KENYATAAN MEDIA
DARWA MENYOKONG KEMPEN 'SAY NO 2 ZINA'
DARWA mendokong dan menyambut baik Kempen 'Say No 2 Zina' yang dilancarkan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga (LPPKN) baru-baru ini.
Sebagai sebuah pertubuhan yang beroperasi hampir satu dekad dan mengkhususkan dalam hal-hal berkaitan kes hamil luar nikah, kami menyokong penuh usaha-usaha, pencegahan, kesedaran, advokasi, penguatkuasaan dan pemulihan bagi mendepani isu-isu ini.
Berdasarkan pengalaman kami, kes-kes kehamilan luar nikah ini sering terkait sama dengan isu pengambilan arak dan dadah. Kes ini berlaku bukan sahaja dalam kalangan remaja bahkan wanita dewasa.
Dalam masa yang sama terdapat kes-kes eksploitasi terhadap wanita melalui kegiatan sindiket atau individu tertentu.
Sebagai pertubuhan yang menyediakan tempat perlindungan dan pemulihan, kami memerhati dan mengkaji setiap kes yang didaftarkan dan kami dapati ada pelbagai faktor yang menjerumus mereka kepada Zina.
Faktor-faktor tersebut antaranya ialah kurangnya didikan agama, hubungan keluarga yang lemah, keadaan ekonomi keluarga yang rendah, pornografi, media sosial dan lain-lain faktor yang kita sebut sebagai 'Faktor Berangkai'
Kajian terkini yang dijalankan oleh seorang Ahli Lembaga Pengarah DARWA, Prof Dr. Nor Zuraida Zainal, Setiausaha Agong Persatuan Psikiatri Asia, mendapati pelatih-pelatih mengalami emptiness iaitu rasa kekosongan dalam diri mereka.
Secara konsisten selama sepuluh tahun, pelatih-pelatih menyatakan hal yang sama, kehilangan rasa berTUHAN (GOD CONSCIOUSNESS).
Ini mengingatkan kita kepada asas rukun negara yang pertama, "KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN".
Semangat ini turut terkandung dalam Falsafah Pendidikan Negara (FPN) dan Falsafah Kebudayaan Negara 1970, yang menekankan keseimbangan dan kemenjadian insan secara holistik berdasarkan nilai-nilai murni yang disepakati.
Penyair Mesir, Syauqi menukilkan:
"Sebuah bangsa itu kekal selama ia berakhlak, bila akhlaknya telah lenyap, maka lenyaplah pula bangsa itu"
Kung Fu Tze, turut menekankan lapan nilai akhlak, antaranya:
i. Ren-Kemanusiaan
ii. Chun -Kesedaran
iii. Li- kesusilaan
Malah dalam Old Testament, menyebutkan The Ten Commandments yang menganjurkan cara hidup yang baik dan di antaranya larangan berzina.
Di langit terbuka kita bersedia untuk menerima kemodenan dan perubatan, kita hendaklah mengekalkan nilai-nilai luhur agama dan bangsa.
DARWA sentiasa komited mendepani isu ini dengan menggerakkan Program Pencegahan dan Kesedaran melalui modul Aku Teruna Terhebat (ATT), Bahagia Menjadi Gadis (BMG), Program Keibubapaan, Usrah Marhamah, dan Daurah NUR.
Program pemulihan kami mengikut modul-modul tersusun yang telah diluluskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan bahagian Ar-Riqab Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
Kami percaya dengan gerakan bersepadu semua pihak melalui cadangan, kritikan, pendidikan, latihan, kesedaran, penguatkuasaan dan pemulihan kita akan dapat membina masyarakat yang lebih baik.
Isu ini bukan sahaja dijuarai oleh golongan wanita, bahkan lelaki dan wanita bersama.
Sekian.
HAZLINA ABD RAZAK
PENGERUSI PERTUBUHAN KEBAJIKAN DARUL WARDAH SELANGOR
28 Januari 2019 (Isnin)
No comments:
Post a Comment