Gambar: Saat akhir bersama Amni.~
Bila ada temujanji untuk proses pengangkatan anak, maka hari itu adalah hari 'kesayuan' kami.
Mood berubah, bukan sekadar si ibu, malah seluruh penghuni turut mengalami rasa sedih, rasa sayu yang sama. Kami yang menguruskan, lebih terasa debarannya. Namun keadaan ini harus kami tempuhi bersama.
Pesanan ikhlas kepada mereka yang membaca tulisan kali ini; Jangan sesekali buat kesimpulan mengatakan keluarga kandung membenci anak kecil ini [dan anak-anak lain yang diangkatkan]. Sesungguhnya, demi melindungi aib dan maruah keluarga dan si ibu, mereka TERPAKSA.
Hari ini, saat melihat air mata dan esak tangis si nenek, juga datuk, ibunya lebih-lebih lagi.. juga air mata ahli keluarga lain yang hadir bersama di waktu perpisahan, sudah cukup membuatkan hati saya diruntun pilu. Biasanya, saya akan cuba bertahan agar tidak terhanyut sama dalam kesedihan. Namun, hari ini, benar-benar menguji diri; saya tewas saat berperang dengan emosi.
Pesan saya kepada keluarga baru Amni.."inshallah, didiklah anak ini sebaiknya walaupun dia bukan darah daging sendiri. Bermula saat ini, anak ini menjadi tanggungjawab dan amanah buat kakak dan abang..", mereka berdua yang duduk berdepan dengan saya mengangguk faham.
Sambung saya lagi, "Jadi, kakak dan abang, kalau boleh, bina lah satu cita-cita untuk besarkan dia menjadi anak yang solehah. Maknanya, jika kita mahu anak yang solatnya cukup 5 waktu, jadi, kita lah sebagai ibubapanya yang harus dulu cukupkan solat 5 waktu kita." alhamdulillah, mereka tersenyum manis, hati saya tenang.
Selalu juga saya berpesan kepada adik-adik saya di sini, untuk semat impian, dan sentiasa berdoa agar zuriat yang akan dilahirkan nanti menjadi zuriat yang soleh-solehah dan hafiz-hafizah. Andai anak itu bakal diangkatkan, saya 'bisikkan' kepada si ibu, agar berpesan kepada ibu bapa angkat~ "tolong didik anak saya dengan baik-baik, kalau boleh hantar lah dia ke sekolah tahfiz agar anak saya membesar menjadi seorang hafiz/hafizah". Inshallah, moga harapan murni ini menjadi kenyataan. Semoga ALLAH Taala melindungi anak-anak ini dengan sebaik-baik perlindungan. Ameen~
Semoga anak ini, menjadi penyambung hubungan persaudaraan antara 2 buah keluarga. Pengangkatan tidak seharunya menjadi 'pemutus' hubungan anak dengan ibunya. Kerana, nasab anak-anak sebegini masih mengikut nasab ibunya walaupun mereka tidak hidup bersama.
Peranan kita, doakan lah yang baik-baik.
Azmiza
Pengurus DARWA
mijaazmiza: Polisi DARWA dalam menguruskan anak-anak ini; mengutamakan keluarga. Maka, terpulang kepada keluarga untuk merancang masa depan anak-anak ini. Jadi, tidak kesemua anak yang lahir di sini diangkatkan. Sebahagian besar, anak-anak ini dijaga sendiri oleh keluarganya.
No comments:
Post a Comment