Tuesday, September 15, 2015

KULIAH DHUHA MUSLIMAT BICARA WANITA UMMATIK

“RAIKAN CINTA IBU”


Kuliah Dhuha Muslimat untuk kali ini menampilkan Puan Hajjah Azlina bt Abdul Aziz yang merupakan ibu kepada Allahyarham Ammar, Syahid yang tertangguh bersama dengan Ustazah Hazlina bt Abd Razak yang merupakan pengerusi Darul Wardah.

Kuliah Dhuha Muslimat yang bertemakan “Raikan Cinta Ibu” ini diadakan di Masjid An-Naim Jalan Kebun dan Darul Wardah antara yang terlibat demi menjayakan program ini.

Selain daripada Kuliah Dhuha, program pada kali ini juga disertakan dengan solat-solat sunat, penyampaian sumbangan dan sambutan Hari Ibu.





*Pendaftaran peserta

*Pengisian daripada Ustazah Hazlina sebelum mengerjakan solat-solat sunat

*Hadirin mengerjakan solat-solat sunat berjemaah yang diimamkan oleh Ustazah Hazlina


*Bicara Wanita Ummatik yang disampaikan oleh Pn. Hjh. Azlina Abdul Aziz


Puan Hajjah Azlina merupakan ibu kepada Ahmad Ammar, yang dilaporkan meninggal dunia pada November 2013 jam 1.30 petang akibat dilanggar ambulan ketika melintas jalan di Istanbul, Turki.
Jenazah Ahmad Ammar dimuliakan di Turki kerana beliau merupakan pemuda yang banyak berjasa kepada masyarakat dan juga dalam ilmu agama dan aktif dalam berdakwah. Selain itu, pada usia semuda itu beliau telah menyertai pelbagai misi kemanusiaan di beberapa negara di dunia seperti di Syria dan sebagainya.

Ahmad Ammar juga pernah berhasrat untuk mati Syahid dalam kehidupannya. Namun, kematiannya akibat kemalangan jalan raya pada 2 November lalu telah menyebabkan beliau digelar sebagai  “Syahid yang tertangguh” oleh para sahabatnya.

Allahyarham Ahmad Ammar disemadikan di Perkuburan Eyub Sultan menghadap Laut Golden Horn. Tanah perkuburan ini menempatkan lebih 60 jasad para sahabat nabi, auliya’, panglima Uthmaniyyah dan orang-orang kenamaan di sana.

Namun Datuk Bandar telah memberi pengecualian kepada Ammar hingga allahyarham menjadi orang Malaysia pertama disemadikan di sini. Malah begitu ramai orang termasuk masyarakat setempat selain rakan satu universiti yang hadir ketika allahyarham disolatkan di Masjid Ayub Sultan, Istanbul seterusnya mengiringi jenazah Ammar ke kubur.







Puan Hajjah Azlina memberi perkongsian tentang cara dia mendidik Ahmad Ammar sehingga dia menjadi pemuda yang disegani dan disayangi oleh orang lain. Ahmad Ammar amat dikenali kerana mempunyai budi pekerti yang baik, tekun, berdisiplin, taat, bercita-cita tinggi dan sikap hormatnya kepada yang lebih dewasa. Ahmad Ahmad juga dihormati sebagai seorang yang kuat ilmu agama dan aktif dalam dakwah memperjuangkan agama Islam.

Kematian Ahmad Ammar amat memberi kesan yang amat mendalam kepada seluruh ahli keluarga khususnya dan kepada seluruh anak muda yang menjadikan Ahmad Ammar sebagai teladan kepada mereka.

*Hadirin yang fokus mendengar perkongsian daripada Pn Hjh. Azlina dan ada di antara mereka yang menitiskan air mata.


Selepas selesai slot Bicara Wanita Ummatik, turut diadakan adalah sesi memberi sumbangan kepada penerima yang berkelayakan dan perlu dibantu di sekitar Jalan Kebun. Sumbangan disampaikan oleh Ustaz Zawawi bin Hj Mughni yang merupakan Imam 2 Masjid An-Naim Jalan Kebun dan juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah Darul Wardah.

*Sesi penerimaan sumbangan yang disampaikan oleh Ustaz Zawawi








PROGRAM TADABBUR SURAH AR-RAHMAN BERSAMA DENGAN PKPIM UIAM



Pada hari Sabtu, 9 Mei 2015, Pihak Darul Wardah dikunjungi oleh PKPIM UIAM yang ingin melakukan program Tadabbur Surah Ar-Rahman bersama warga Darul Wardah.


Sudah semestinya pihak kami amat mengalu-alukan program seperti ini diadakan di Darul Wardah bagi memberi perkongsian dan ilmu yang lebih berguna untuk kami di sini.


*Sesi tadabbur dalam kumpulan


*Nikmat apa lagi yang mahu engkau dustakan? 


*penerangan daripada fasilitator


Tadabbur dalam kumpulan kecil sudah semestinya dapat memberi fokus dan tumpuan yang lebih kepada setiap peserta.
Terima kasih diucapkan atas perkongsian yang diberikan kepada kami.

Moga Allah redha. J


*Para fasilitator bergambar bersama penghuni Darul Wardah



Sunday, September 13, 2015

KUNJUNGAN ZIARAH DARI BUMI TERENGGANU


Alhamdulillah, terlalu banyak aktiviti dan kunjungan ziarah yang diterima oleh Darul Wardah pada bulan April yang lalu. Kami amat menghargai perhatian orang ramai dalam terus membantu dan memberi sokongan kepada kami. J
Pada penghujung bulan April, Darul Wardah dikunjungi tetamu dari Terengganu Darul Iman. Mereka adalah Murid-murid Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) dari tiga buah sekolah di Terengganu iaitu Sekolah Menengah Agama Khairiyah, Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin (SMASZA) dan Sekolah Menengah Agama Mahmudiah, Kuala Berang.




Seramai 80 orang pelajar bersama guru-guru mereka dalam rangka lawatan sambil belajar ke beberapa sekolah, IPT dan institusi pendidikan di Lembah Klang.

*Bergambar kenangan di hadapan Darul Wardah

Sesi taklimat dan perkongsian Bahagia Menjadi Gadis (BMG) disampaikan oleh Ustazah Hazlina selaku pengerusi Darul Wardah dan juga perkongsian daripada Ustaz Zawawi iaitu salah seorang Ahli Lembaga Pengarah Darul Wardah. 

*Perkongsian dari Ustazah Hazlina untuk slot Bahagia Menjadi Gadis (BMG)




Para pelajar juga tidak melepaskan peluang untuk mendengar perkongsian sendiri daripada para penghuni Darul Wardah dan mereka turut membawa cenderahati serta menyampaikan sendiri kepada para penghuni.


*Ustaz Zawawi dan Ustazah Hazlina bersama-sama dengan para kaunselor dari 3 buah sekolah tersebut.



TAUSIYATUL KUBRA SIRI 1


Alhamdulillah, pada 25 April yang lalu, Tausiyatul Kubra untuk siri yang pertama telah dijayakan. Penceramah yang dijemput adalah Pencetus Ummah, PU Azihal Bangsawan.





PU Azihal telah mengajak semua penghuni Darul Wardah untuk menjadi manusia yang lebih baik daripada hari semalam dengan mendekatkan diri serta kembali kepada Allah. Pengkongsian yang padat dan bermakna untuk seluruh warga Darul Wardah.

Terima kasih dari Warga Darul Wardah. J

BAHAGIA MENJADI GADIS (BMG 4.0)








Selain dari memasuki ke sekolah-sekolah untuk memberi perkongsian berkaitan zina dan bahayanya, team Bahagia Menjadi Gadis (BMG) daripada Darul Wardah juga turut mengadakan program bersiri setiap tahun untuk gadis remaja dari Dun Sri Muda.


Pada tahun ini, Team Darul Wardah bersama 120 remaja dari DUN Sri Muda mengikuti program Bahagia Menjadi Gadis (BMG) di Sungai Kelambu, Banting dan di Masjid An-Naim Jalan Kebun. 







*Para peserta dan urusetia bergambar di Sg. Kelambu



Program selama 2 hari satu malam itu diisi dengan ceramah kesihatan, Bahaya HIV/AIDS, Bahaya Zina, Spiritual Terapi dan Qiamullail. 

Perasmian dan ucapan penutup dilakukan oleh YB Shuhaimi Shafie, ADUN Seri Muda.

Saturday, September 12, 2015

KUNJUNGAN ZIARAH PROF DR. RAZALI NAWAWI KE DARUL WARDAH



Pada bulan April yang lalu juga, kami turut menerima kunjungan ziarah daripada Prof. Dr. Razali Nawawi ke Darul Wardah.


Prof. Dr. Razali merupakan bekas pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan juga merupakan mantan presiden ABIM yang pertama.





* Prof. Dr. Razali bersama PA beliau


* Prof. Dr. Razali juga merupakan pensyarah kepada Ustazah Hazlina ketika di UIAM



Selain daripada membuat kunjungan ziarah, Prof. Dr. Razali juga menyampaikan sedikit tausiyah kepada para penghuni Darul Wardah. Kata-kata beliau sarat dengan nasihat yang berguna untuk turut membantu para penghuni supaya kembali mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.

Terima kasih kerana sudi turut bersama kami. J


Friday, September 11, 2015

TAKLIMAT HIV DAN AIDS PKD KLANG



Apa khabar iman kita pada hari ini?. J

Moga-moga Allah sentiasa melimpahkan rahmat dan redhaNya kepada kita semua, ameen.
Terima kasih diucapkan kepada semua pengunjung blog Darul Wardah ini. Moga kalian semua dapat mendoakan kami warga Darul Wardah agAar terus diberi kekuatan dariNya. J

InsyaAllah, seperti yang dijanjikan kami akan terus berkongsi segala aktiviti yang dilakukan bersama penghuni di Darul Wardah.

Alhamdulillah, pada 15 April yang lalu, Unit AIDS/STD, Pejabat Kesihatan Daerah Klang yang diketuai oleh Dr. Zul telah mengunjungi kami di Darul Wardah sekaligus memberikan perkongsian berkaitan HIV dan AIDS serta melakukan ujian saringan HIV/AIDS kepada para penghuni Darul Wardah.


Hadir bersama Dr. Zul ialah Encik Fahzan (inspektor kesihatan), Pn. Idayu dan seorang penghidap HIV. Perkongsian berkaitan HIV/AIDS disampaikan oleh Dr. Zul sendiri.






*Para penghuni khusyuk mendengar taklimat HIV/AIDS






*Antara slide yang dibentangkan oleh Dr. Zul



Penyakit HIV/AIDS hanya dapat dikesan sekurang-kurangnya 6 bulan setelah seseorang mendapat atau dijangkiti virus tersebut dan memakan masa yang agak lama. Sekiranya seseorang penghidap HIV/AIDS tidak mendapat rawatan yang selayaknya, virus tersebut akan menular dengan lebih cepat berbanding dengan penghidap yang sentiasa mendapatkan rawatan dan mereka boleh bertahan untuk terus hidup dengan lebih lama seperti orang normal yang lain.

Setelah Dr. Zul selesai memberi taklimat, Kak Ani (bukan nama sebenar) yang merupakan seorang penghidap HIV positif telah memberikan perkongsian kepada para penghuni tentang bagaimana beliau boleh dijangkiti penyakit tersebut. Menurut Kak Ani, dia menerima jangkitan tersebut daripada suami beliau yang merupakan penghidap HIV positif. Kini, beliau mendapat rawatan dan nasihat daripada PKD Klang.

Kemudian, semua penghuni Darul Wardah melakukan pemeriksaan saringan HIV/AIDS dan alhamdulillah kesemua mereka bebas daripada dijangkiti virus tersebut.

Terima kasih diucapkan kepada Dr. Zul dan sahabat-sahabat beliau kerana sudi meluangkan masa di rumah kami. J


Wallahu’alam.





KISAH SEBUAH BUKU MERAH





“Assalamualaikum kak, busy ke?”

“Waalaikummusalam. Ya cik puan Fatimah (bukan nama sebenar). Takde busy mana. Macam mana sekarang? Sihat?”

“Alhamdulillah kak, sihat. Sekarang saya dah pindah ke Melaka. Ikut suami.”

“Ok. So macam mana pengantin..ada berita gembira nak bagi tahu ke?”

“Haah kak, kita dah nak masuk 5 minggu dah ni.”

“Alhamdulillah..tahniah”

“Tapi kita ada masalah sikit la kak. Kita nak buka buku merah esok kat klinik. Kita nak bagi tahu macam mana ya. Nak cakap mengandung anak first ke second kak sebab kena bagi tarikh nikah sekali. Kalau bagi tahu anak first, kesan stretchmark kita ni nampak sangat kat perut, mesti dia orang tahu kita mengandung anak kedua. Kalau cakap anak kedua, tarikh nikah kita baru lagi dan mesti nurse minta buku merah yang lama. Kita risau la kak.”


Itu adalah perbualan sebenar melalui telefon dengan salah seorang alumni Darul Wardah beberapa hari yang lepas. Syukur, dia telah menemui seorang lelaki budiman yang menerima dia seadaanya dan sanggup menerima amanah dan menyelamatkan maruah seorang gadis yang ternoda akibat nafsu rakus lelaki durjana.

Gadis ini telah berkahwin pertengahan tahun 2015 yang lalu dan telah memulakan kehidupan yang baru bersama suami tercinta. Dengan rahmat Allah SWT, pasangan ini bakal menimbang cahaya mata cinta mereka beberapa bulan akan datang.  

Walaupun telah mempunyai satu kehidupan baru dengan suasana dan tempat yang baru, namun kisah silam tetap membayangi dan mengekori dirinya. Malah ia seolahnya akan menghantui dan membelenggu diri untuk mungkin sepanjang perjalanan hidup di dunia. Bagaimana kehidupannya selepas ini dan bagaimana kehidupan seorang kanak-kanak perempuan yang comel yang dilahirkan sebelum ini. Bagaimana pula salur galur keturunan anak yang tidak berdosa itu.  

Zina bukan sahaja membawa malapetaka kepada masyarakat malah ia juga akan meninggalkan berjuta sisipan duka dalam kehidupan. Maha Besar Allah telah berfirman  dalam surah Al-Isra’ ayat 32 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan keji yang membawa kepada kerosakan.”

Kami melihat sendiri kerosakan yang di bawa oleh ZINA di Darul Wardah. Terlalu ramai anak gadis remaja kita yang terpedaya dengan ZINA. Malah bukan hanya sekali berzina hingga mengandung dan masuk ke rumah kami, tetapi kebanyakkan kes adalah yang berulang-ulang kali sehingga melahirkan lebih daripada seorang anak hasil hubungan ZINA. Rosak hubungan dengan ibu bapa hingga mungkin menjadi anak derhaka. Rosak hubungan dengan adik-beradik hingga hilang kepercayaan sampai bila-bila. Rosak hubungan dengan masyarakat hingga dipandang hina dan tidak bermaruah, di cemuh dicaci orang sekeliling. Apa yang paling dibimbangi, rosak akidah hingga keras hati tidak jumpa jalan untuk kembali.

Kisah Buku Merah ini benar-benar memberi kesan mendalam kepada saya. Walaupun sudah bertaubat dan berusaha untuk memperbaiki diri, bayang-bayang hitam silam tetap menghantui. Jatuh simpati saya untuk mereka kerana ada di kalangan anak-anak ini benar-benar insaf dan bertaubat sepenuh hati. Kami di sini hanya mampu menitip doa moga mereka tetap istiqomah dan tabah dalam mengharungi hidup hingga ke akhirnya. Moga Allah Maha Pengasih Maha Pengampun mengurniakan rahmat dan hidayahnya kepada kita semua kerana sesungguhnya Maha Pengasih Allah juga berfirman dalam surah As-Zumar ayat 53 yang bermaksud: “Katakanlah wahai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Dan semoga taubat anak-anak di Darul Wardah ini diterima Allah dan semoga taubat mereka adalah sebenar-benarnya taubat nasuha kerana janji Allah yang Maha Menerima Taubat ada berfirman, “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan “Taubat Nasuha”, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai.” (At-Tahrim: 8)

Mohon doakan kami disini. Amin ya Rabb.



LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...